Sabtu, 14 November 2020

DATO VERDON DILANTIK CEO SABAH FC

Seorang usahawan, Dato' Verdon Bahanda (gambar) dilantik sebagai Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC (Sabah Football Club Sdn. Bhd.) yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) telah membuat tawaran pelantikan kepada beliau melalui surat yang ditandatangani Pemangku Presiden, Dato' Abdul Rahman Zakaria bertarikh 12 November lepas.

Verdon hanya perlu melengkapkan Borang Penerimaan Jawatan tersebut dan mengembalikannya kepada SAFA.

Dalam surat itu, Rahman berkata, Jawatankuasa Eksekutif SAFA yang bermesyuarat pada 11 November lepas telah meluluskan untuk menawarkan jawatan berkenaan kepada usahawan itu.

Menurut beliau, pihaknya berharap Verdon akan memberi komitmen yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dan imej badan bolasepak negeri itu.

Difahamkan mengikut peraturan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mulai tahun depan Liga Super akan membenarkan penyertaan kelab-kelab yang berdaftar sahaja dan tidak lagi menggunakan nama pasukan negeri sebagaimana biasanya sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SAFA juga difahamkan akan menamakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin memainkan peranan dalam badan bolasepak itu sebagaimana syor Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.

Manakala Rafie Robert telah dilantik sebagai Setiausaha Agung SAFA yang baharu dan Naib Presiden FAM, Joehari Datuk Ayub dilantik sebagai Bendahari Agung yang baharu.

Pelantikan tersebut bagi membolehkan SAFA dapat meneruskan pentadbirannya dan menjalankan aktiviti sehinggalah mesyuarat agung pemilihan diadakan nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan