Jumaat, 20 November 2020

JELIUS DILANTIK JURULATIH DAN PENGURUS SABAH FC MUSIM DEPAN

Verdon (dua kanan) bersama Jelius, Justin dan Mohd Aiyman.

Jelius Ating dilantik sebagai jurulatih merangkap pengurus pasukan Sabah FC bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Dia menggantikan jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto dari Indonesia yang tidak disambung kontrak. 

Pelantikan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato' Verdon Bahanda dalam sidang media di pejabat SAFA, hari ini.

Bekas jurulatih skuad Piala Presiden Sabah musim 2020, Justin Ganai pula dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab tersebut.

Manakala Mohd Aiyman Abdullah @ David Johnny, bekas jurulatih skuad Piala Belia Sabah 2018 dan skuad Piala Presiden Kuching FA 2020 diberi tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Belia.

Verdon berkata, kontrak jurulatih terbabit akan dimuktamad dan diputuskan minggu depan.

                                                    VERDON...CEO Sabah FC.

Jelius merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa pasukan Sabah naik ke saingan Liga Super pada musim 2019 selepas menjuarai Liga Perdana pada tahun itu.

Dia dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Liga Super Sabah musim ini bersama rakannya, Burhan Ajui memandangkan Jelius tidak nemiliki Lesen Pro A atau Lesen Pro Diploma AFC bagi melayakkannya untuk melatih skuad Liga Super. Jelius hanya mempunyai Lesen A FAM.

Berikutan itu, SAFA telah mendapatkan khidmat Kurniawan sebagai jurulatih pasukan.

Bagaimanapun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru-baru ini dilaporkan bersedia menjadi pemudahcara kepada mana-mana jurulatih Liga Malaysia bagi menyelesaikan proses memiliki Lesen Pro Diploma AFC.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John, jurulatih berkenaan boleh membuat permohonan awal melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk pertimbangan.

"Lesen Pro Diploma AFC atau lebih dikenali Lesen Pro A sebenarnya diwajibkan kepada semua jurulatih kerana ia memang termaktub dalam pelesenan kelab sebelum ini."

"Dalam situasi ini, ia bukan sahaja digunapakai Malaysia tetapi juga seluruh negara Asia. Kalau mana-mana jurulatih yang tidak ada lesen Pro A, mereka boleh memohon dengan AFC," tegas Windsor.

Katanya, AFC kemudian akan pertimbangkan kelayakan kejurulatihannya, mungkin dia tidak ada Lesen Pro A tetapi pengalamannya setaraf dengan Lesen Pro Diploma AFC.

Beliau menambah permohonan itu kemudiannya akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan AFC.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan