Selasa, 13 Disember 2011

PENGALAMAN PERIT DI FERI SG. TEMBURONG

UJI KESABARAN...sebahagian penumpang yang turun daripada kenderaan masing-masing yang berbaris panjang untuk melihat suasana perkhidmatan feri itu beroperasi.
Inilah pemandangan Sungai Temburong yang keluasannya jika dua buah feri disambungkan boleh menghubungkan daratan.
Dua petugas feri yang didakwa menerima sogokan bagi kenderaan yang berani melakukan jumping queue sempat dirakam gambar dari dalam bas.

Selain menggunakan penerbangan, perjalanan melalui darat adalah salah satu alternatif bagi perjalanan dari Limbang di Sarawak untuk ke Brunei Darussallam dan seterusnya ke bandar Miri dan bandaraya Kuching.

Penerbangan melalui pesawat dari Kota Kinabalu ke Miri misalnya hanya mengambil masa kira-kira sejam berbanding melalui perjalanan darat yang mungkin mengambil masa kira-kira 14 jam atau lebih. Ia bergantung dengan keadaan perjalanan jika berlaku kesesakan maka perjalanan akan mengambil masa lebih lama.

Pengalaman saya baru-baru ini menyertai rombongan ke bandar Miri menggunakan perjalanan darat bukan sahaja amat memenatkan malah ia juga dipenuhi macam-macam kisah yang jika diikutkan hati boleh hilang sabar terutama apabila tiba di Sungai Temburong untuk menggunakan perkhidmatan feri, yang keluasan sungainya jika dua buah feri disambungkan boleh menjadi jambatan penghubung daratan.

Selain jenuh dengan perjalanan yang dipenuhi dengan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam kedua-dua negara, Malaysia dan Brunei Darussalam di mana terpaksa turun naik bas di sekurang-kurang 10 pos pemeriksaan bagi mengecop passport, yang paling mencabar ialah apabila tiba di feri Sungai Temburong.

Jika pada musim cuti, keperitan yang dialami ketika di feri berkenaan begitu ketara sekali di mana deretan kenderaan berbaris panjang boleh dilihat sehingga hampir dua kilometer dan ini memaksa para pemandu kenderaan menunggu giliran antara tiga atau empat jam.

Dalam situasi seperti itu bermacam-macam gelagat dapat disaksikan, ada yang hilang sabar, pertengkaran, kata-kata kesat malah hingga ke tahap bergaduh. Dan yang paling menyakitkan hati ialah ada pula di kalangan petugas feri terbabit yang mengambil kesempatan dalam kerumitan itu dengan meminta sogokan daripada pemandu yang berani melakukan jumping queue. 

Petugas yang tidak bertanggungjawab terbabit akan meminta sogokan antara RM20 hingga RM40 dan lebih bagi setiap kenderaan yang melakukan jumping queue.

Taktik mereka ialah membiarkan dulu kenderaan yang telah "melompat barisan" itu seketika di salah satu sudut kawasan agak gelap berhampiran laluan feri dan setelah sogokan diberikan maka pemandu kenderaan berkenaan akan secara tiba-tiba dibenarkan meluru masuk ke dalam feri, barulah dikuti oleh kenderaan yang sedang berbaris menunggu giliran.

Bayangkanlah keadaan seperti itu sudah berlaku sejak perkhidmatan feri mula beroperasi hinggalah sekarang.

Pada saya yang pertama kali merasai pengalaman itu dengan melihat sendiri peristiwa tersebut berlaku di hadapan mata pun sudah dapat merasakan betapa peritnya, apa lagi bagi pengguna-pengguna yang kerap menggunakan laluan itu dan sudah puluhan tahun mengalaminya. Kita tentu tabik dengan mereka!

Sebenarnya untuk merungkai masalah yang dihadapi di feri tersebut, pihak pemerintah di Malaysia dan Brunei Darussalam semestinya ada kesepakatan untuk menyelesaikannya dengan mengambil kira kepentingan pengguna-pengguna yang menggunakan laluan berkenaan.

Jika dilihat dari segi keluasan sungai itu bukanlah sesuatu yang terlalu membebankan kepada kedua-dua negara untuk membina jambatan yang sudah tentu akan memudahkan perjalanan pengguna kenderaan, kecualilah terdapat rahsia yang menjadi kekangan yang sudah tentunya hanya dapat difahami oleh kedua-dua pemerintah.

Bagaimanapun berdasarkan perkembangan terkini difahamkan sudah ada perancangan untuk membina jambatan di sungai berkenaan yang sedang diusahakan oleh kedua-dua negara, dan menurut penduduk di kawasan berkenaan, pecah tanah bagi projek pembinaan jambatan itu telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Menurut seorang rakan facebook yang membuat komen mengenai keperitan dialami di feri tersebut, mengikut perancangan jambatan tersebut dijangka menjadi kenyataan pada tahun 2013. 

Sejauh mana perkara ini dapat direalisasikan, ia bergantung kepada perbincangan dan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Brunei Darussallam.

Yang pasti, jika sebuah jambatan dapat diwujudkan bagi menggantikan perkhidmatan feri itu maka ini adalah sesuatu "hadiah" yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh pengguna yang menggunakan perjalanan darat antara Sabah, Sarawak dan Brunei Darussallam ke destinasi masing-masing.

Bagi kerajaan Malaysia sendiri, usaha untuk menyediakan kemudahan jambatan itu yang sudah tentu mengharapkan persefahaman, kerjasama dan komitmen kerajaan Brunei Darussallam, ia adalah selari dengan slogan yang diilhamkan Perdana Menteri, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".







Tiada ulasan:

Catat Ulasan