Jumaat, 30 Disember 2011

TIDAK BENAR BUMBURING DESAK UPKO KELUAR BN, KATA DOMPOK

DOMPOK...tepis dakwaan.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok menafikan bahawa timbalannya, Datuk Wilfred Bumburing mendesak parti itu supaya meninggalkan Barisan Nasonal (BN).

“Itu tidak benar. Secara kebetulan saya akan menghadiri majlis rumah terbuka Krismas yang dianjurkan beliau,” katanya.

Sambil menepis dakwaan itu, Dompok juga enggan menambah apa-apa ke atas apa yang telah dikatakannya mengenai cakap-cakap bahawa Upko akan keluar dari BN.

“Jika saya bercakap lebih banyak mengenai isu ini, orang mungkin akan mentafsirnya daripada sudut yang berbeza,” katanya.

Presiden Upko itu juga berkata, pihaknya tiada masalah dengan badan-badan bukan kerajaan di negeri ini.

“Saya tiada masalah dengan Amanah, UBF...walaupun saya mungkin tidak menyukai kenyataan-kenyataan yang dibuat Perkasa,”.

“Namun itu adalah sebahagian daripada demokrasi,”  tegas beliau.

Bagaimanapun menurutnya, UBF perlu mengisytiharkan sama ada ia berhasrat untuk menyertai politik atau kekal sebagai sebuah NGO.

Katanya, jika ada hasrat untuk terbabit dalam politik, ia perlu diputuskan oleh ahli-ahlinya terlebih dahulu.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengingatkan mereka yang menentang penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang haram dan dokumen kerakyatan palsu di Sabah menganggap bahawa RCI sebagai peluang untuk melahirkan pandangan mereka.

“Pembentukan RCI adalah untuk menangani isu-isu yang menyentuh masyarakat dari hal-hal berkaitan sosial, politik dan keselamatan,” ujar beliau sebagai mengulas bantahan Kebajikan Islam Sabah, Pekida dan Persatuan Putra Ranau baru-baru ini berhubung penubuhan RCI itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan