Lokman (duduk empat dari kanan) bersama Pengerusi Takoi, Jain Haji Bisnin (tiga dari kiri) serta beberapa ahli jawatankuasanya bersembang sebelum mesyuarat agung diadakan. |
Gambar tengah dan bawah: Sebahagian penduduk Kg. Berangkok yang menghadiri mesyuarat agung Takoi.
Masyarakat luar bandar seharusnya menghargai segala usaha dan keprihatinan kerajaan terhadap mereka terutama dalam menyediakan bantuan bagi meringankan beban kehidupan selain menyediakan prasarana sebagai kemudahan mereka.
Naib Ketua Bahagian Upko Beaufort, Lokman Sunggim, berkata, ini termasuk wang bantuan rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat yang layak membuktikan keprihatinan kerajaan dalam usaha meringankan bebanan keluarga yang dihadapi rakyat.
Katanya, selain itu, pihak kerajaan juga secara berterusan berusaha menyediakan kemudahan asas yang diperlukan rakyat dan ini mencerminkan kesungguhan pemerintah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Justeru, masyarakat kampung khususnya perlu menghargai usaha yang dilakukan kerajaan di samping memanfaat sebarang bantuan dan kemudahan yang disediakan sebaik mungkin,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Tabung Khairat Orang-Orang Islam (Takoi) Kampung Berangkok di Dewan Masjid kampung berkenaan di sini, baru-baru ini.
Kira-kira 100 ahli Takoi menghadiri mesyuarat agung tersebut.
Lokman yang juga Anggota Majlis Daerah Kuala Penyu menggesa masyarakat kampung itu saling bekerjasama, muafakat dan sepakat dalam menggerak dan menjayakan program dan aktiviti di peringkat kampung.
Katanya, ini penting bagi membolehkan kampung dapat dimajukan tanpa terlalu mengharapkan penyediaan peruntukan dari kerajaan.
Beliau memuji usaha yang dilakukan penduduk kampung yang mewujudkan Takoi kerana ini sedikit-sebanyak dapat membantu mana-mana penduduk yang menghadapi musibah seperti kematian.
“Usaha penduduk seumpama ini sangat baik dan murni, ia wajar diteruskan dan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya difahamkan keahlian Takoi pada masa ini sudah mencecah lebih 170 orang dan mereka yang belum menganggotainya sebaik-baiknya tampil untuk menjadi ahli baru.
Mengenai masalah air yang dihadapi penduduk di daerah ini, beliau berharap pihak kerajaan terus berusaha untuk mengambil tindakan bagi menanganinya supaya rakyat tidak terus dibelenggu masalah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan