Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin memotong kek sambil dibantu Dompok sempena rumah terbuka Krismas Presiden Upko itu di Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang.
Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok menolak khabar angin kononnya beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang sebagaimana yang didakwa baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa pihaknya tidak ada mengadakan pertemuan dengan mana-mana pemimpin sama ada dari kerajaan atau Pakatan Rakyat (PR) kerana sejak kebelakangan ini berada di Afrika Selatan dan Nigeria.
“Saya tiada masa untuk bertemu dengan sesiapa kerana sejak akhir bulan lalu hingga awal bulan ini, saya bertugas di luar Malaysia,” katanya selepas ditemui ketika sambutan perayaan Krismas daerah Penampang, di sini.
Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata beliau berada di Afrika Selatan dan Nigeria untuk menjelaskan salah anggapan masyarakat di sana mengenai kelapa sawit di Malaysia.
Katanya, mereka perlu diberi kefahaman bahawa kelapa sawit adalah sejenis tanaman yang baik dan bermanfaat.
Selain tugasan tersebut, menteri itu turut menghadiri sidang kemuncak mengenai perubahan iklim.
Menurutnya, beliau menghadiri sidang itu berikutan adanya aduan tentang penebangan hutan di Malaysia untuk penanaman kelapa sawit.
Sementara itu, pada majlis rumah terbuka Krismas menteri berkenaan di Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang hari ini (Ahad), Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menjadi tetamu khas beliau.
Pemimpin lain yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Masidi Manjun, Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing dan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Naib Presiden Upko, Datuk Dr. Ewon Ebin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan