Wisma Sedco di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu yang menempatkan ibu pejabat perbadanan itu.
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sabah (Sedco), sebuah syarikat berkaitan kerajaan akan diberi lesen tunggal pengorekan pasir di Sabah tahun depan sebagai usaha untuk menghentikan aktiviti mencuri pasir.
Menurut Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal, Sedco akan menjadi satu-satunya entiti diberi hak untuk mengorek pasir di seluruh Sabah mulai 1 Jun tahun depan.
Katanya, bagaimanapun para kontraktor korek pasir yang sedia ada sekarang boleh meneruskan kerja mereka sekiranya lesen mereka masih sah.
“Namun sebaik sahaja lesen mereka tamat, ia tidak akan diperbaharui,” katanya selepas penutupan perbincangan meja bulat antara Jatan Tanah dan Ukur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM) di sebuah hotel di ibu negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman melakukan penutupan majlis tersebut.
Osman berkata, para pengusaha pasir sedia ada tidak akan tertindas berikutan langkah ini kerana mereka akan menjadi ejen kepada Sedco sebaik sahaja lesen mereka tamat.
Katanya, para pengusaha terbabit perlu berhubung dan berbincang dengan Sedco sekiranya mereka mahu meneruskan aktiviti mengorek pasir.
Sedco, katanya, akan mempunyai kriteria sendiri untuk memilih pengusaha pasir yang akan menjadi ejennya.
Beliau berkata, sepanjang enam buln akan datang dari Januari hingga Jun, jabatannya akan menyediakan kertas kerja mengenai mekanisme dan peraturan bagi membolehkan prosedur itu berkuatkuasa.
Katanya, jabatan juga akan memanggil semua pengusaha untuk mendengar pandangan mereka supaya mekanisme itu boleh memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pengusaha, Sedco dan kerajaan negeri.
Osman berkata, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju terhadap perkara ini.
Sarawak dan Selangor adalah dua negeri yang telah melaksanakan sistem ini sebagai kaedah untuk menangani aktiviti pengorekan pasir haram.
Beliau berkata, Jabatan Galian dan Genosains akan menyediakan laporan bagi menentukan kuantiti pasir yang dikorek.
“Berdasarkan jumlah itu, kita akan mengecaj Sedco. Justeru, pihak kerajaan tidak akan mengalami kerugian daripada segi hasilnya,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan