Sabtu, 31 Disember 2011

LAJIM SIBUK PROGRAM DI KAWASAN

Lajim (kanan) bersama John Ghani berduet ketika menyanyi sempena rumah terbuka Krismas John di kediamannya di Kuala Penyu.
Lajim bersama ahli korporat, Limus Jury (kanan) ketika merasmikan perhimpunan keluarga Latiman di Kg. Bundu, Kuala Penyu.

Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin beberapa hari ini sibuk memenuhi pengisian program di kawasannya di Parlimen Beaufort.

Pada Jumaat lepas, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort dan Ketua Umno bahagian berkenaan melakukan perasmian mesyuarat agung Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) di Beaufort.

Anggota Parlimen Beaufort itu kemudian meluangkan masa untuk menghadiri majlis rumah terbuka Krismas yang dianjurkan bekas wakil rakyat Bebas Kuala Penyu, Datuk John Ghani di kediamannya di Kg. Batu Linting, Kuala Penyu.

John merupakan rakan yang bukan asing bagi Lajim kerana bekas Adun pembangkang itu pernah menjadi Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort sebelum meninggalkan parti itu untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum negeri pada 2004 dan berjaya mengalahkan calon BN ketika itu, Datuk Wences Angang.

Walaupun namanya dikaitkan dengan spekulasi hangat berhubung kemunculan sebuah parti baru, SPF namun Lajim yang juga Presiden PBBS mengambil sikap berdiam tanpa memberi sebarang respon terhadap semua khabar angin yang tersiar di media massa dan internet.

Malah semua spekulasi yang bertiup kencang itu tidak menganggunya meneruskan komitmen untuk menemui rakyat di kawasannya dan yang terbaru, hari ini (Sabtu), MP Beaufort itu telah memenuhi undangan untuk merasmikan perhimpunan keluarga Latiman di Kg. Bundu, Kuala Penyu.

Beberapa pemimpin BN dan Umno beberapa hari lepas turut menolak spekulasi bahawa Anggota Parlimen Beaufort itu akan mengetuai sebuah parti baru untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Antaranya Setiausaha BN Sabah, Datuk Rahman Dahlan dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Masidi Manjun.

Kenyataan penafian Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud dan Masidi yang juga seorang anggota kabinet negeri disiarkan di akhbar-akhbar tempatan manakala Lajim terus membisu dan belum bersedia untuk merungkai kemelut yang berlaku.

Bagaimanapun, pengikut yang rapat dengan timbalan menteri itu memberitahu, "tunggu dan lihat, Datuk (Lajim) tahu apa yang wajar beliau lakukan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan