Khamis, 15 Disember 2011

GERAN TANAH ANTARA SYARAT BAHARUI PERMIT BAS DIPERSOAL

Bas-bas dipunyai pengusaha Bumiputera yang membantah keras syarat baru yang dianggap merumitkan mereka.
MURSIDI...hapuskan serta-merta.
RAHMAN...ramai pengusaha terkejut dengan syarat baru.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) menyokong gesaan pengusaha bas di negeri ini supaya syarat mengkehendaki menyertakan salinan geran tanah bagi urusan memperbaharui lesen pengangkutan awam membabitkan bas dihapuskan serta-merta.


Bendahari Agungnya, Mursidi Ridi, berkata syarat itu tidak sesuai dan ia haruslah dibatalkan dan tidak diwajibkan apabila pengusaha ingin memperbaharui permit bas mereka.


Katanya, syarat itu tidak pernah diwajibkan sebelum ini dan ia juga tidak pernah dikenakan kepada pengusaha yang membuat urusan serupa di Semenanjung Malaysia sehingga sekarang.


"Kenapa ia secara tiba-tiba dikenakan kepada pengusaha-pengusaha bas di Sabah sahaja."

“Kita berpendapat syarat seperti ini tidak wajar diwajibkan kepada pengusaha di negeri ini kerana rata-rata mereka tidak memiliki geran tanah sendiri. Ini sudah tentu menyulitkan mereka untuk memenuhi syarat sedemikian,” tegasnya.


Beliau diminta mengulas rungutan pengusaha berhubung syarat baru yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah di media tempatan, hari ini.

Menurut laporan media, jurucakap pengusaha-pengusaha bas, Rahman Piut mendakwa ramai pengusaha melahirkan rasa terkejut dengan syarat baru itu ketika mereka membuat urusan untuk membaharui permit mereka di pejabat LPKP Sabah.

Berikutan itu, beliau meminta LPKP supaya membatalkan syarat tersebut serta-merta memandangkan kebanyakan pengusaha tidak mempunyai geran tanah dan ini pastinya menyulitkan untuk memperbaharui permit mereka yang tamat tempoh untuk menjalankan perkhidmatan.

Mursidi berkata, pihaknya difahamkan bahawa syarat menyertakan salinan geran tanah pemilik permit itu diperlukan bagi membuktikan pengusaha mempunyai  tapak meletakkan bas bagi setiap pangkalan operasi bas mereka.


Katanya, syarat ini sangat merumitkan pengusaha memandangkan kebanyakan pengusaha tidak memiliki geran tanah sendiri selain adalah mustahil bagi pengusaha untuk menjalankan perniagaan hanya berpangkalan di kampung mereka  sendiri.


“Keadaan ini seolah-olah menyekat pengusaha untuk mengembangkan perniagaannya dan jika inilah sikap pengurusan LPKP Sabah, ia seolah-olah ketinggalan zaman dan sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mentransformasikan pemikiran pegawai-pegawai  terbabit,” tegas beliau.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan