Ahad, 17 Oktober 2021

BUNG BIDAS WARISAN BERHUBUNG BEKALAN AIR

  

BUNG MOKTAR...bencana alam sukar diramal.

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyelar parti pembangkang, Warisan atas dakwaannya kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa mengenai krisis air yang dialami di beberapa bahagian di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di Sabah tidak seperti kerajaan Warisan-Plus sebelumnya yang tidak pernah berbuat sesuatu dalam tempoh dua tahun ia memerintah.

Katanya, untuk menangani masalah ini, tindakan jangka pendek diperlukan agar bekalan air tidak terus membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya.

"Justeru, kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding bilangan pengguna yang semakin meningkat."

"Sudah tentu jika kita membuat perancangan teliti mengenai bekalan air di Sabah, perkara yang berlaku ketika ini mungkin dapat kita elakkan," katanya.

Bung Moktar berkata, semasa Warisan-Plus menjadi kerajaan, pakatan itu tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik atau menaik taraf bekalan air bersih di negeri ini.

Malah, tambahnya, semasa Warisan-Plus menjadi kerajaan, tidak nampak apa yang mereka lakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru, Junz Wong yang mendakwa Jabatan Air tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang melibatkan tangki simpanan air di Kopungit dan masalah gangguan air di Kampung Tanjung Aru.

Katanya, gangguan bekalan air di Tanjung Aru dan kawasan sekitar telah pun diselesaikan dan bekalan air bersih pulih seperti sediakala selepas paip pecah di kawasan itu telah dibaiki Jabatan Air.

Menurut beliau, tekanan air rendah sejak berlakunya bencana tanah runtuh di Kg. Kopungit pada awal bulan lalu yang menjejaskan tangki simpanan air 5 MLD yang menyalurkan separuh kapasitinya di kawasan Tanjung Aru.

"Bencana alam sukar kita ramalkan termasuk kawasan tangki air di Kopungit yang terlibat dalam runtuhan tersebut."

"Bagaimanapun Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang membaiki cerun terbabit," tegasnya.

Timbalan Ketua Menteri itu, berkata terdapat beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di Tanjung Aru malah di kawasan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang apabila berlakunya banjir di Sungai Moyog baru-baru ini, yang turut menjejaskan kerja-kerja merawat air di Loji Kasigui yang merupakan sumber air bagi kawasan terlibat.

Katanya, kementeriannya sedang menjalankan kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.

"Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada juru perunding dilantik bagi menilai, memperincikan langkah holistik untuk menangani isu ini selain berusaha melaksanakan tindakan secara berperingkat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan