Sabtu, 16 Oktober 2021

KEPIMPINAN AKAR UMBI UMNO PERLU DIPERKEMASKAN HADAPI PRU-15

 
 
KOTA KINABALU--Mesyuarat cawangan-cawangan Umno yang bermula kelmarin merupakan peluang seluruh kepimpinan dan ahli akar umbi untuk lebih bersemangat memperkemaskan jentera parti bagi menghadapi Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata mesyuarat cawangan-cawangan itu menjadi tumpuan ahli peringkat akar umbi hadir dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti demi agama, bangsa dan negara. 

"Kekuatan Umno secara keseluruhannya bermula dari akar umbi. Selepas kita laksanakan mesyuarat cawangan, segala isu yang dibangkitkan akan dibawa ke peringkat bahagian dan fokus kita pada bahagian sangat penting agar strategi terbaik dapat disusun," katanya dalam perutusan sempena mesyuarat perwakilan cawangan-cawangan Umno di seluruh negara bermula Jumaat hingga 30 November ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata walaupun persidangan ini berjalan dalam keadaan negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, ia bukan penghalang untuk ahli-ahli parti meneruskan agenda perjuangan.

Katanya, selain pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan kerajaan, mesyuarat ini seharusnya dilaksanakan dengan penuh semangat, disiplin dan sentiasa menjaga imej parti.

Bung Moktar berkata, ahli Umno di peringkat akar umbi perlu terus membina kekuatan keseluruhan jenteranya.

"Saya harap kepimpinan Umno baik di peringkat cawangan mahu pun di bahagian mesti menekankan semangat kerja berpasukan dalam memimpin parti ke arah kecmerlangan," katanya.

Menurut beliau, semangat berpasukan sangat penting untuk gerak kerja dan strategi yang dirancang antara pucuk pimpinan bahagian bersama akar umbi di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

"Kita ketepikan dulu soal jawatan dalam bahagian atau soal calon pada PRU akan datang, yang penting kita perkemaskan jentera bagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya nanti," ujarnya. 

Beliau seterusnya mengingatkan ketua-ketua cawangan Umno agar mengenal pasti ahli-ahli mereka yang masih berdaftar di peringkat cawangan masing-masing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan