Selasa, 5 Oktober 2021

AG ASLEE HARAP KEMENTERIAN PENDIDIKAN DAPAT SELESAIKAN BANTAHAN PENDUDUK

  

Awang Aslee (tengah) mendengar penerangan pemimpin masyarakat di Kg. Sinapokan.

KUALA PENYU--Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berharap Kementerian Pendidikan dapat menyelesaikan kemelut berhubung bantahan masyarakat Kampung Sinapokan dekat sini mengenai cadangan pembinaan pra-sekolah di kampung berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya sudah menemui pemmipin masyarakat kampung berkenaan dan berbincang dengan mereka bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya sudah berbincang dengan mereka termasuk dihadiri guru besar sekolah berkenaan, Cikgu Saiful Suari dan berharap kemelut ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Awang Aslee yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata pihaknya telah diminta Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin supaya berjumpa pemimpin masyarakat di kampung berkenaan dan mendengar sendiri mengapa mereka membantah pembinaan pra-sekolah itu.

"Alhamdulillah, saya telah pun menyampaikan hasil perbincangan kami itu kepada timbalan menteri berkenaan untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Beliau seterusnya berharap pihak kementerian mampu mengambil tindakan penyelesaian terhadap kemelut itu.

"Apa pun keputusannya nanti, kita serahkan kepada budi bicara pihak kementerian," ujar beliau.

Awang Aslee kemudian melawat bangunan kelas KAFA di Kampung Tanjung Aru yang dalam keadaan usang dan daif selain meninjau keadaan sistem perparitan di sekitar gerai dan bangunan surau lama di kampung itu.

Katanya, kerosakan bangunan dan sistem perparitan yang tersumbat hingga mengakibatkan banjir apabila musim hujan perlu diambil perhatian pihak kerajaan dan mengambil langkah melakukan pembaikan sewajarnya. 

Beberapa pemimpin Umno bahagian turut serta dengan beliau semasa program lawatan itu.

Awang Aslee turut menemui penduduk di Kg. Tanjung Aru bagi mendengar masalah mereka semasa program lawatan itu.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan