KOTA KINABALU--Umno Sabah akan menghantar jentera bagi membantu calon-calon Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.
Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata, ia membabitkan wakil dari bahagian, pergerakan pemuda, wanita dan puteri akan "berkampung" di Melaka pada waktu kempen hingga menjelang hari pembuangan undi.
"Kita akan menghantar jentera dan akan diletakkan pada satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan merangkumi beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri," ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan sesi taklimat bersama ketua-ketua bahagian, ketua sayap wanita, pemuda dan puteri di bangunan Umno, di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Bendahari Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan, Datuk Raimie Unggi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata jentera itu akan memberi tumpuan berkempen dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua-ketua bahagian, pemimpin wanita, pemuda dan puteri ketika menghadiri sesi taklimat tersebut.Terdahulu, dalam sesi taklimat, Bung Moktar meminta semua kepimpinan Umno bahagian, pemuda, wanita dan puteri memfokus terhadap usaha memantapkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.
"Kita jangan fikir perkara lain, keutaamaan kita ialah memperkukuhkan jentera parti. Apabila parti dalam keadaan kuat dan kukuh, kita akan dihromati," tegasnya.
Menurut beliau, soal calon dan pemilihan parti perlu diketepikan dahulu sebaliknya berganding bahu bagi memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
"Saya selalu tegaskan Umno mempunyai struktur yang lengkap dari bahagian, wanita, pemuda dan puteri serta cawangan. Apabila struktur ini dapat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing, ia akan dapat memastikan kekuatan parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan