Ahad, 7 November 2021

SABAH FC PERLU MENANGI PERLAWANAN DENGAN PJ CITY FC

Sabah FC perlu memenangi perlawanan terakhirnya menentang PJ City FC dalam Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Likas Selasa ini bagi membolehkannya mara ke pusingan suku akhir.

Kedua-dua pasukan mengutip lima mata namun kelebihan masih memihak PJ City FC yang ketika ini menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D.

Perlawanan terakhir bagi kedua-dua pasukan ini bakal menjadi pertembungan paling penting memandangkan hanya kemenangan akan memisahkan kedudukan mereka.

Sekiranya perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri, PJ City FC akan menempah tiket ke suku akhir mengiringi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang begitu selesa mendahalui pasukan lain dalam kumpulan berkenaan.

Justeru, Sabah FC tidak mempunyai pilihan selain mengerahkan sepenuh kudratnya untuk memenangi perlawanan terakhir ini.

Pemain-pemain Sabah FC bersaing dalam perlawanan dengan Kelantan FC, semalam.

Kemenangan pertama pasukan tuan rumah dalam pertemuan dengan Kelantan FC di Stadium Likas semalam menghidupkan peluang Sabah FC untuk ke saingan suku akhir.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal Kelantan FC menerusi percubaan jarak jauh Che Mohd Safwan Hazwan pada minit keempat babak separuh masa pertama namun Amri Yahya berjaya mendapatkan gol penyamaan tiga minit kemudian melalui sepakan penalti.

Kelantan FC sekali lagi berjaya menghasilkan gol kedua pada separuh masa kedua berikutan pergelutan di kawasan pintu gol tuan rumah tetapi pengadil membatalkan jaringan itu kerana "off side".

Pemain gantian Sabah FC, Sahrizan Saidin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 masa tambahan sekali gus mengembalikan semangat pemain-pemain tuan rumah untuk perebutan ke suku akhir dengan memastikan kemenangan dalam perlawanan terakhir di halaman sendiri, Selasa ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan