Khamis, 11 November 2021

PIALA SABAH GANTI PIALA KM DIANJURKAN JANUARI DEPAN

 


Azman (duduk tengah) bersama sebahagian ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA. Turut kelihatan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom (duduk kanan sekali) dan timbalan pengerusi jawatankuasa itu, Lokman Sunggim (duduk dua kiri).

KOTA KINABALU--Kejohanan bola sepak Piala Sabah merebut piala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor akan diadakan pada Januari depan. 

Pertandingan itu sebelum ini dikenali sebagai Piala Ketua Menteri (KM) tetapi mulai tahun depan ia diubah nama sebagai Piala Sabah. 

Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar menyatakan perkara itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA di pejabat persatuan itu, hari ini. 

Katanya, jawatankuasa tersebut telah membuat keputusan untuk mengubah nama kejohanan itu supaya ia dikenali sebagai Piala Sabah. 

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan, berkata kejohanan itu akan disertai lapan zon sahaja terdiri dari Zon Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Pedalaman Atas dan Zon Tengah. 

"Setiap zon terbabit akan menyediakan pasukan terbaik dengan memilih pemain-pemain dari daerah-daerah di zon masing-masing," katanya. 

Menurut Azman, persiapan untuk menganjurkan kejohanan itu akan dilakukan sebaik sahaja Kejohanan SAFA Piala BMR B18 selesaikan dalam bulan ini. 

Beliau memberitahu, kejohanan Piala Sabah merupakan satu kejohanan yang penting dikendalikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA dan ia juga salah satu pertandingan yang termasuk dalam kalendar penganjuran badan bola sepak itu. 

Azman mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu bagi persiapan grand final Kejohanan SAFA BMR Cup B18.

Mengenai grand final Kejohanan SAFA Piala BMR pada 26-28 November ini, upacara perasmian akan disempurnakan oleh Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar sendiri di Stadium Likas pada 27 November ini. 

Katanya, kesemua lapan zon yang bertanding di peringkat akhir sudah melakukan persiapan masing-masing dan berharap pegawai dan pemain-pemain mereka akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, yang sudah pun diberi penerangan kepada pengurusan pasukan mereka. 

"Kita mahu kejohanan ini berjalan dengan baik dan lancar bagi membolehkan panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dapat mengenal pasti pemain-pemain muda berbakat sepanjang kejohanan itu,". 

"Ini adalah matlamat utama kita untuk mencungkil bakat-bakat muda untuk diserapkan dalam pasukan Piala Belia Sabah selain untuk memenuhi misi dan hala tuju Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah," tegasnya. 

Beliau menambah, selain daripada Piala BMR 2021, Piala Sabah tahun depan, SAFA juga dijangka menganjurkan kejohanan Piala SAFA, kejohanan antara kelab-kelab dan kejohanan bola sepak wanita selepas ini.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan