Isnin, 29 November 2021

PEDALAMAN ATAS JUARA PIALA BMR B18 2021

 

Jasnih menyampaikan piala pusingan kepada Jamawi Jaafar mewakili Pedalaman Atas sambil diperhatikan pegawai-pegawai dan pemain pasukan tersebut.

KOTA KINABALU--Pasukan Pedalaman Atas menjuarai Kejohanan Bola Sepak SAFA Piala BMR B18 2021 selepas menumpaskan Pantai Barat Selatan 3-1 melalui sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Likas, semalam. 

Kedua-dua pasukan berjiran itu bersaing hebat sepanjang perlawanan memaksa mereka terikat 0-0 dalam permainan masa penuh. 

Mereka masih tetap terikat dengan keputusan 0-0 dalam masa tambahan menyebabkan sepakan penalti diberikan yang menyaksikan Pedalaman Atas berjaya melakukan sepakan tiga gol berbanding pesaingnya Pantai Barat Selatan hanya mampu menyepak masuk gol tunggal. 

Dengan kejayaan itu, Pedalaman Atas membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.00, piala pusingan, piala dan trofi manakala Pantai Barat Selatan menerima wang tunai RM20,000.00, piala dan trofi.

Pasukan Pedalaman Atas.

Zon Tengah pula melakukan kejutan untuk memenangi tempat ketiga setelah membenamkan Pantai Timur Utara 3-0 pada perlawanan penentuan di padang sintetik Likas. 

Pasukan itu menerima hadiah wang tunai RM15,000.00, piala dan trofi manakala Pantai Timur Utara yang menduduki tempat keempat turut menerima wang tunai RM5,000, piala dan trofi. 

Pedalaman Atas mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Pantai Timur Utara 2-0 di separuh akhir manakala Pantai Barat Selatan mengalahkan Zon Tengah 3-2 melalui sepakan penalti.

Datuk Razak Sulaiman dari Pantai Barat Selatan (kiri) menerima piala yang disampaikan Juil.

Sebanyak lapan zon berentap di peringkat grand final kejohanan yang pertama kali diadakan itu, yang bermula sejak April itu. 

Kejohanan itu menerima banyak cabaran dan kekangan akibat pandemik Covid-19 namun akhirnya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA berjaya menyelesaikan kejohanan itu dengan jayanya menepati sasaran mereka sebelum akhir tahun ini.

Pasukan Pantai Barat Selatan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan, berkata kejohanan itu merupakan salah satu usaha SAFA untuk mencungkil bakat-bakat pemain muda yang berpotensi khususnya mereka yang berusia bawah 18 tahun ke dalam pasukan negeri. 

Katanya, seramai 60 pemain akan dinilai dan dipilih oleh panel pemilih yang dianggotai jurulatih berpengalaman dan bekas-bekas pemain negeri sepanjang kejohanan itu. 

"Mereka akan diserapkan menganggotai skuad Piala Belia, Piala Presiden malah pemain-pemain muda yang layak akan berpeluang hingga pasukan senior Sabah FC," katanya.

Dr Jelani ditemuramah wartawan RTM dan Astro Awani selepas perlawanan akhir.

Beliau menambah, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bertindak sebagai penasihat panel pemilih tersebut. 

"Kita yakin panel pemilih mampu mengenal pasti pemain-pemain muda yang berbakat dari seluruh negeri melalui kejohanan sedemikian," ujarnya. 

Upacara penutupan kejohanan itu dilakukan Pembantu Menteri Kewangan merangkap bendahari SAFA, Jasnih Daya mewakili Presiden SAFA, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang. 

Turut hadir ialah Timbalan Presiden SAFA, Datuk Juil Nuatim, Abdul Rahman Zakaria, naib presiden, Datuk James Wong, Henry Soimpon, Datuk Suhaimi Nasir, Datuk Dr Jelani Hamdan dan pengerusi jawatankuasa penganjur, Azman Mastar serta Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang hadir sama semasa upacara perasmian.

Pasukan Zon Tengah.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan