Isnin, 8 November 2021

KEHIDUPAN BAJAU LAUT DI PULAU TATAGAN, SEMPORNA

Keadaan sebuah rumah di Pulau Tatagan.

Pulau Tatagan di Semporna dihuni kira-kira 300 penduduk Bajau Laut yang kehidupan mereka bergantung kepada hasil laut dengan terdapat sekitar 60 rumah yang didirikan di atas air.

Keadaan rumah mereka sememangnya sangat daif dan dapat dilihat hanya beratap serta berdindingkan daun nipah.

Pulau ini boleh dihubungi melalui pengangkutan laut kira-kira 40 minit perjalanan dari pekan Semporna.

Masyarakat di sini menjalani kehidupan harian dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air bersih.

Itulah realiti kehidupan komuniti ini. Pada siang hari mereka disinari cahaya matahari dan pada malamnya bercahayakan bulan dan bintang.

Marasun menyampaikan bantuan bakul makanan kepada seorang penduduk di pulau berkenaan.

Ketika berpeluang menyelami situasi mereka di pulau yang agak terasing, masyarakat Bajau Laut ini tidak pun menunjukkan soal keperitan hidup yang terpaksa mereka harungi.

Tambah menyedihkan komuniti ini juga tidak mempunyai status kewarganegaraan yang sudah tentu menyukarkan mereka untuk bergerak bebas khususnya ke tanah besar, di samping berusaha mencari kehidupan yang lebih baik.

Keadaan kehidupan masyarakat terbabit bertambah perit susulan ancaman wabak virus Covid-19 yang memberi kekangan untuk mereka keluar mencari rezeki di laut.

Justeru, sebarang bantuan yang sampai kepada mereka dari pihak kerajaan atau badan-badan sukarela ibarat "rezeki jatuh ke riba" yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Marasun berada di sebuah rumah penduduk untuk menyampaikan bakul makanan kepada keluarga tersebut.

Baru-baru ini, Jabatan Belia dan Sukan daerah Semporna dengan kerjasama badan belia dari Wilayah Persekutuan Labuan telah mengagih-agihkan bantuan kira-kira 300 bakul makanan kepada penghuni pulau berkenaan.

Pegawai jabatan itu, Marasun Hassim, berkata, bantuan bakul makanan itu bagi meringankan beban komuniti terbabit yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kita dapati kehidupan mereka di pulau ini sangat memeritkan dan bantuan makanan tersebut yang diserahkan kepada penduduk berkenaan sedikit-sebanyak dapat membantu mereka menyambung kehidupan," katanya ketika ditemui selepas misi bantuan kemanusian itu.

Katanya, selain Pulau Tatagan, bantuan makanan serupa juga dihantar ke dua pulau yang lain.

Menurut Marasun, penghantaran bakul makanan itu menggunakan tiga bot yang disewakan.

"Setibanya kami di pulau ini, saya begitu terharu melihat keadaan kehidupan mereka. Saya sangat sedih mereka terpaksa menjalani kehidupan sedemikian rupa," ujarnya.

Wanita ini menceritakan mengenai keperitan hidup mereka di pulau berkenaan.

Seorang wanita sambil mendukung anaknya dalam perahu, memberitahu, dia sangat berterima kasih sekiranya ada bantuan makanan yang sampai kepada mereka.

"Kalau tiada makanan, kami terpaksa makan apa yang ada terutama hasil laut saja,".

"Dan jika ada bantuan makanan daripada sesiapa saja, kami berterima kasih," katanya.

Sebuah keluarga berdayung sampan untuk menerima bantuan bakul makanan di kawasan pesisiran Pulau Tatagan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan