Kereta yang ditemui itu dikeluarkan dari Sungai Calfkiller.
Seorang YouTuber di Washington dilaporkan menemui mayat dua remaja Amerika Syarikat yang hilang 21 tahun lalu ketika menyelam di dasar Sungai Calfkiller di Tennessee, baru-baru ini.
Jeremy Beau Slides dari Exploring Wit Nug, sebuah saluran selam skuba menemui kereta jenis Pontiac Grand Am di dasar sungai berkenaan dipercayai terdapat mayat Erin Foster dan Jeremy Bechtel.
Pasangan remaja itu hilang pada 3 April 2000 ketika berusia 18 dan 17 tahun di bandar Sparta di Tennessee.
Pencarian remaja terbabit dihentikan selepas beberapa kali siasatan dan polis mengklasifikasikan cold case (kes tidak dapat diselesaikan) sehinggalah penemuan terkini oleh Slides pada 24 November lepas.
Slides yang terkenal dengan perkongsian video menyelam dan mencari objek serta orang hilang tiba di bandar itu pada awal November.
Video mengenai penemuan berkenaan telah ditonton lebih 250,000 orang dan mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada masyarakat bandar itu yang menghargai usahanya serta terharu apabila rakan mereka akhirnya dijumpai.
Dalam perkembangan berkaitan, polis yang dipetik USA Today mengesahkan kenderaan yang dikeluarkan dari sungai itu milik Foster dan terdapat rangka manusia di dalamnya.
Rangka manusia tersebut sudah dihantar ke makmal bagi menjalani ujian DNA, manakala kedua-dua keluarga sudah dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan. -HM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan