Sabah mencipta sejarah apabila seorang pegawai polis wanita, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Keningau yang baharu.
Nor Rafidah, bekas staf pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah menggantikan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain yang akan berpindah ke Kota Belud untuk mengetuai pasukan itu di sana.
Penyerahan tugas antara Shahrudin dan Nor Rafidah diadakan di Bilik Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau kelmarin disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan beberapa pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Sabah.
Jauteh ketika ditemui kemudian mengesahkan Nor Rafidah adalah pegawai polis wanita yang pertama dilantik sebagai Ketua Polis Daerah.
"Kita berharap pelantikan ini akan menjadi motivasi kepada pegawai polis wanita lain bahawa mereka juga boleh dilantik ke jawatan sedemikian," katanya.
Menurut beliau, pihaknya memahami bukan mudah untuk mengetuai pasukan itu di Keningau namun kita harap Ketua Polis Daerah yang baharu itu mampu menghadapi cabaran tersebut.
Sementara itu, Nor Rafidah berharap akan mendapat kerjasama daripada masyarakat yang akan sentiasa mesra dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sebagai wanita, ia bukan satu tanggungjawab yang mudah tetapi saya akan berusaha melakukan yang terbaik dan berusaha menggalas amanah yang diberikan kepada saya," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis Kontijen Sabah atas pelantikannya ke jawatan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan