UMNO Sabah mengambil pendirian yang sama dengan UMNO Pusat dalam menentukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata walaupun UMNO Sabah mempunyai autonomi namun ia hanya membabitkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, di peringkat Parlimen, keputusan tertakluk kepada UMNO Pusat kerana jawatan Perdana Menteri ditentukan oleh kepimpinan Pusat dan bukannya di Sabah.
"Pendirian UMNO Sabah seiring dengan Semenanjung. Autonomi yang berkaitan dengan kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya untuk PRN saja," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan, hari ini.
Ketibaan Bung Moktar diberi sambutan oleh ahli jawatankuasa pelaksana dan para perwakilan.Mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi UMNO, Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, memberitahu ia bergantung kepada keputusan Barisan Nasional (BN).
"Kalau mereka kata beryanding 25 kerusi Parlimen, 25 kerusilah," katanya.
Timbalan Ketua Menteri itu menambah, senarai calon parti itu untuk PRU-15 sudah dikenal pasti tetapi pihaknya akan membaut penilaian semula melalui satu kajian di setiap Parlimen bulan hadapan.
"Yang penting kita mahu ketengahkan calon yang menjadi pilihan rakyat," tegasnya.
Menurut beliau, UMNO Sabah juga akan mengetengahkan usul untuk memperkasakan parti dan Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.
Katanya, pemimpin UMNO tidak boleh bertelagah sesama sendiri sebaliknya semua pemimpin perlu sedar tanggungjawab dan peranan mereka dalam memperkukuhkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan