Isnin, 4 Oktober 2021

SABAH PERLUKAN DANA KHAS UNTUK KERJA-KERJA KECEMASAN

KUALA LUMPUR--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) meminta kerajaan pusat menyediakan peruntukan khas bagi menyelesaikan kerja-kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segera ekoran bencana alam.

Katanya, sejak akhir-akhir ini sering berlaku bencana alam di Sabah mengakibatkan kerosakan jalan raya, cerun dan jambatan runtuh di samping berlakunya kebakaran di kawasan perkampungan dan ia memerlukan peruntukan segera untuk baikpulih.

"Kerosakan yang dialami itu perlu diperbaiki dan ia melibatkan kos yang tinggi. Kita perlu memohon peruntukan kepada kementerian berkaitan atau kementerian kewangan di mana prosesnya memakan masa menyebabkan kerja-kerja pembaikan lambat dilaksanakan yang memberi kesan kepada rakyat," katanya.

Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan pusat menyediakan dana khas kepada kerajaan negeri bagi membiayai kos pembaikan untuk kerja-kerja kecemasan yang memerlukan kos tinggi.

"Berikanlah dana khas dalam sekitar RM200 juta ke RM300 juta setahun untuk membiayai kerja-kerja kecemasan agar memudahkan kerajaan negeri mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dilakukan," katanya.

Beliau juga mengulangi hasrat kerajaan negeri agar diberi kuasa automi untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK-12 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

"Sabah sudah merdeka melalui Malaysia selama 58 tahun namun dari segi pembangunan, ia masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain menyebabkan Sabah masih dikategorikan sebagai negeri termiskin kerana kaedah mendapatkan peruntukan masih mengamalkan kaedah lama," tegasnya.

Justeru, katanya, kerajaan pusat wajar menyerahkan peruntukan yang disediakan kepada kerajaan negeri untuk perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.

Mengenai dengan pelaksanaan projek Lebuh raya Pan Borneo, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menggesa kerajaan pusat menyegerakan kelulusan yang dipohon kerajaan negeri agar ia dilaksanakan secara pembiayaan swasta (PFI).

"Kita perlu kelulusan segera dari kerajaan persekutuan agar projek Lebuh raya Pan Borneo Fasa 1 dapat segera dimulakan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat di luar bandar," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan