Jumaat, 25 Jun 2021

PEMBANTU MENTERI KBS TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH SABAH FC


Andy Muhammad (dua kiri) menerima dokumen permohonan tapak tanah SAFA daripada Jelani sambil diperhatikan Azman dan David.

KOTA KINABALU--Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri, Andy Muhammad Surady Bandy menerima kunjungan hormat Pengarah Sabah FC yang baharu, Datuk Dr. Jelani Hamdan di pejabatnya pada Jumaat.

Turut bersama Jelani yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dalam kunjungan itu ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Andy memberitahu, perbincangan mereka menjurus kepada soal pelan dan tindakan berhubung perancangan pembangunan bolasepak negeri, tapak tanah SAFA dan usahasama mengenai cadangan pengendalian Stadium Likas.

Katanya, ia bertujuan memantapkan lagi kewangan dan pentadbiran jangka masa panjang badan bolasepak itu.

Menurut Pembantu Menteri itu, turut dibincangkan ialah Akademi bolasepak SAFA yang mendapat tajaan Petronas melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, kata Andy, pihaknya juga tertarik dengan prestasi yang ditunjukkan Sabah FC dalam saingan Liga Super yang agak memberangsangkan.

"Pencapaian kelab itu dalam carta Liga Super 2021 agak baik kerana berjaya melonjak ke kedudukan tangga ketujuh selepas mengharungi 13 perlawanan," ujar beliau.

Perlawanan dalam Liga Super akan disambung semula bulan hadapan setelah berehat kira-kira dua bulan.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan