Selasa, 1 Jun 2021

SABRI DIPINJAMKAN KE SARAWAK UNITED, DUA LAGI KE KELANTAN FC

KOTA KINABALU--Tiga pemain Sabah FC dipinjamkan kepada dua pasukan, Sarawak United FC dan Kelantan FC ketika jendela perpindahan dibuka bulan lepas.

Mereka ialah pemain tengah Sabri Sahar (gambar atas) yang dipinjamkan kepada Sarawak United FC manakala pemain posisi serangan, Ariusdius Jais dan Evan Wensley Wenceslaus, pemain pertahanan akan bersama Kelantan FC.

Ketiga-tiga pemain terbabit akan bermain untuk kedua-dua pasukan Liga Perdana itu sehingga akhir musim.

Sebelum ini, Sabri pernah beraksi untuk pasukan Sarawak selain pasukan Negeri Sembilan.

Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir dilaporkan akhbar tempatan sebagai berkata, Sabri akan menyertai Sarawak United FC sebagai pinjaman sehingga akhir musim ini.

Sabah FC mengucapkan yang terbaik kepada beliau, katanya.

Evan Wensley dan Arisdius Jais.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabah FC yang kini menduduki tempat ketujuh Liga Super sehingga ini telah mengikat kontrak pemain bek kiri Perak FC, Nazirul Naim Che Hassim bagi mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.

Saingan Liga Super berehat selama dua bulan dan Sabah FC dijadual meneruskan kempen dalam liga itu dengan menentang pasukan PJ City FC di Stadium MPPJ pada 9 Julai ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan