Khamis, 1 Julai 2021

BAIK PULIH LANDASAN KERETAPI TENOM - PANGI SIAP DUA BULAN

Perkhidmatan keretapi penumpang Tenom - Panggi yang ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan landasan dijalankan.

KOTA KINABALU--Kerja-kerja membaik-pulih landasan keretapi Tenom - Pangi yang mengalami kerosakan dijangka siap dalam masa dua bulan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata akibat kerosakan itu, perkhidmatan keretapi bagi laluan Tenom - Pangi terpaksa ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan.

Katanya, landasan itu terutama di laluan kilometer 114 Rayoh, km 124 dan km 130 Pangi mengalami kerosakan baru-baru akibat banjir dan tanah runtuh.

"Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) ketika ini sedang memantau kerja-kerja pembaikan termasuk mencadangkan kepada pihak kontraktor mewujudkan laluan sementara bagi membolehkan perkhidmatan dapat kembali berfungsi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai rungutan penduduk di Kampung Pangi, Tenom yang terpaksa menggunakan troli motorsikal atau troli haram sebagai kenderaan mereka untuk keluar ke pekan Tenom untuk membeli barang-barang keperluan harian dan mengangkut hasil pertanian.

Troli motorsikal digunakan penduduk untuk keluar ke pekan Tenom.

Bung Moktar menjelaskan, pihaknya memahami masalah penduduk yang terjejas berikutan penutupan sementara perkhidmatan keretapi di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, JKNS sudah menyediakan "troli pemeriksaan" atau Inspection Trolley (IT) di Stesen Rayoh dan Panggi bagi menggantikan sementara perkhidmatan keretapi penumpang.

"Hanya troli pemeriksaan sahaja dibenarkan beroperasi melalui beberapa kawasan landasan yang rosak termasuk di laluan asal ke km 143 dan 135 hingga ke Tenom,".

"Kapasiti penumpang sekitar enam hingga lapan orang sahaja dan sedia dijadikan sebagai pengangkutan penduduk terutama bagi kes kecemasan sepanjang tempoh 24 jam," tegasnya.

Menurut beliau, pada masa sama, JKNS juga sedang berusaha untuk menambah bilangan IT di kawasan terjejas sekali gus akan beroperasi mengikut jadual perkhidmatan keretapi penumpang sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan