Perlawanan terakhir pasukan Sabah dalam saingan Liga Super musim ini menentang pasukan UiTM yang dijadualkan di Stadium Likas Sabtu ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Ia berikutan penguatkuasaan sekatan perjalanan yang diumumkan kerajaan pada Selasa lepas.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa), Datuk Rahman Zakaria (bawah) yang mengesahkan perkara itu, berkata Safa telah menghantar surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi meminta penangguhan perlawanan itu.
"Kita tidak mempunyai pilihan tetapi meminta penangguhan perlawanan antara Sabah dengan UiTM disebabkan sekatan perjalanan yang dikeluarkan kerajaan," katanya.
Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan juga akan menghadkan pergerakan yang akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).Oleh itu, katanya, adalah sukar untuk semua pihak berkenaan jika perlawanan tersebut diteruskan.
Rahman berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada MFL untuk menentukan tarikh baharu perlawanan tetapi ia mungkin diteruskan selepas sekatan perjalanan ditamatkan yang dijadualkan pada 25 Oktober ini.
Timbalan Presiden Safa 1 itu baru-baru ini dipersetujui ahli majlis tertinggi badan bolasepak itu memangku jawatan Presiden Safa ekoran peletakan jawatan Presidennya, Datuk Peter Anthony akhir bulan lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan