Bung Moktar mendahului senarai Adun yang mengangkat sumpah pada majlis itu.
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendahului 73 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memenangi pilihan raya negeri ke-16 bulan lepas mengangkat sumpah sebagai Adun di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau yang juga Adun bagi kawasan baharu, Lamag mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya.
Ia disusuli Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang juga Adun Tambunan, Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam, menteri kabinet, 18 pembantu-pembantu menteri dan Adun-Adun yang lain.
Majlis angkat sumpah itu yang dipengerusikan oleh Kadzim selaku speaker yang baharu diadakan secara tertutup tanpa kehadiran media kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Datuk Jaffry Ariffin, Adun Sukau turut mengangkat sumpah di hadapan Kadzim.Ketua Menteri yang juga Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu setelah beliau terdedah dengan individu yang kemudian didapati positif Covid-19.
Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa dan sekiranya mesyuarat perlu diadakan, ia akan dibuat melalui persidangan video.
Selain 73 Adun, enam Adun Dilantik turut mengangkat sumpah pada majlis itu.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai 41 Adun termasuk tiga Adun Bebas yang menyokong kerajaan negeri yang baharu.
Warisan Plus selaku parti pembangkang membabitkan Warisan, DAP, PKR dan UPKO mempunyai 32 Adun.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya melahirkan rasa puas hati dengan proses majlis angkat sumpah itu walaupun diadakan secara tertutup kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di bawah PKPB.
"Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan tertutup," katanya selepas majlis itu. (Oleh JAAFAR WAHID).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan