Khamis, 2 Julai 2020

TINGGALKAN UMNO SATU KESILAPAN, KATA SALLEH

Bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) yang sedang memohon untuk kembali ke pangkuan Umno, berkata, keputusannya untuk meninggalkan parti itu pada 2018 merupakan satu kesilapan.

Beliau telah mengemukakan permohonan menyertai semula Umno pada 26 Mei lepas.

Salleh memberitahu, pihaknya sekarang menyerahkannya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, anggota majlis tertinggi parti dan Umno Sabah memutuskan sama ada menerima beliau balik ke dalam Umno.

"Saya ingin menyumbangkan usaha dan tenaga bersama Umno untuk meneruskan agenda perjuangan untuk membina negara yang kita cintai ini," katanya yang sebelum ini turut membatalkan permohonannya menyertai PKR.

Salleh, 61, telah mengikuti langkah ahli-ahli Umno untuk meninggalkan parti itu bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas pilihan raya umum ke-14 lepas.

Bekas ketua menteri itu tewas bagi kerusi Parlimen Kota Belud kepada pendatang baru, Isnaraisah Munirah Majilis dari parti Warisan pada PRU 2018.

Beliau kemudian memohon menyertai PKR, sebuah parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) setelah PPBM enggan menerima beliau dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke dalam parti tersebut

Permohonan Salleh menyertai PKR bagaimanapun tergantung apabila ahli-ahli PKR Sabah yang diketuai Datuk Christina Liew tidak merestuinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan