Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) berkata parti itu akan mempertahankan semua kerusi tradisi di Sabah termasuk lima kerusi yang diwakili bekas ahlinya yang berpindah ke parti lain sekiranya berlaku pilihan raya umum mengejut.
Menurut beliau, pada dasarnya Umno Sabah akan bertanding di semua kerusi tradisi parti.
"Kami akan bekerjasama dengan parti lain yang tidak bersekutu dengan parti Warisan," katanya.
Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, berkata rundingan mengenai kerusi lain akan ditentukan selepas ini.
Bagaimanapun, kerusi yang telah dimenangi oleh Umno tidak termasuk dalam rundingan tersebut, katanya dalam satu laporan FMT.
Pada pilihan raya umum ke-14, Umno Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu Kinabatangan, Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Semporna, Kalabakan, Tenom dan Silam.
Lima MP tersebut, Datuk Rahim Bakri (Kudat), Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun (Beaufort), Hafez Yamani Musa (Sipitang), Datuk Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Idris (Libaran) telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada April tahun lepas,
Calon Barisan Nasional dari Umno mengalami kekalahan di Semporna, Kalabakan, Kota Belud, Papar, Silam, Tenom dan Sepanggar.
Semasa lawatannya ke Sabah, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri berkata bahawa Umno Sabah boleh memilih untuk bekerjasama dengan PPBM di Sabah.
Namun Bung Moktar menyatakan di Twitternya bahawa Umno Sabah akan mempertahankan semua kerusi Parlimen yang dimenangi serta kerusi lain yang dipercayai mampu diemangi dalam pilihan raya umum kelak.
Katanya, Umno Sabah akan menuntut semua kerusi tradisinya untuk menjelaskan kepada PPBM bahawa semua kerusi Parlimennya di Sabah dimenangi Umno atas tiket Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan