Rabu, 29 Julai 2020

MUSA DAKWA MILIKI MAJORITI MUDAH BENTUK KERAJAAN

Musa berbual dengan Osman sambil diperhatikan Adun-Adun yang lain.

Tan Sri Musa Haji Aman hari ini mendakwa sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu dengan sokongan mencukupi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pelbagai parti.

Bekas ketua menteri itu ketika mengumumkan demikian, berkata, Adun-Adun tersebut datangnya dari PPBM, Warisan, PBS, STAR, PKR dan Umno.

Menurutnya, langkah seterusnya ialah menemui Yang Dipertua Negeri dan menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada Adun-Adun terbabit.

Spekulasi berhubung perubahan akan berlaku dalam kerajaan negeri tercetus sejak 15 Jun lalu apabila dua Adun kerajaan keluar dari parti Upko dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Mereka ialah Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut).
Musa bersama Hajiji dan Jeffrey serta Adun lain yang menyatakan sokongan kepada beliau.

Desas-desas mengenai perubahan dalam kerajaan berlarutan sehingga tiba ke kemuncak apabila bekas ketua menteri itu mengumumkan hari ini bahawa pihaknya sudah memiliki majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Difahamkan, terdapat antara 14 hingga 16 Adun gabungan parti memerintah akan bertukar kem, menyebabkan pembangkang yang mempunyai 20 Adun memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Dengan perkembangan itu, ia dijangka akan mengakhiri kerajaan negeri berusia kira-kira 27 bulan selepas membentuk pemerintahan berikutan penghijrahan mengejut Adun-Adun Upko memihak gabungan parti yang diketuai parti Warisan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.
Barisan Adun yang memihak dan memberi sokongan kepada Musa.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan