JAHID...Ketua Pemuda PBS.
Pendirian terkini anggota kedua terbesar parti komponen BN di Sabah selepas Umno sebagai sokongan kepada gesaan Upko yang mahu kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri membatalkan kewarganegaraan Akjan dan segera mengusirnya dari negara ini.
Ketua Pemuda PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata pergerakan itu meragui status kewarganegaraan yang dimiliki Akjan.
Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen perlu menyiasat status kewarganegaraan Akjan untuk membolehkan mereka menentukan undang-undang mana yang telah dicabuli oleh bekas tahanan ISA itu dan tindakan haruslah diambil terhadapnya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri berkata, partinya menyokong penuh terhadap gesaan rakan komponen, Upko sebelum ini supaya "Sultan Sulu" diusir keluar dalam kadar yang segera.
"Kes Akjan ini membabitkan kepentingan awam. Kerana itu, undang-undang harus melihat dakwaan serius itu dari semua sudut status kewarganegaraannya," tegas beliau.
Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Kota Kinabalu turut menyokong supaya tindakan tegas diambil ke atas Akjan termasuk mengusirnya dari Malaysia.
Ketuanya, Christina Liew berkata, bekas tahanan ISA jelas bersikap khianat dan tidak menghormati langsung kedaulatan Malaysia dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu sedang dia mendakwa sebagai warganegara Malaysia.
"Perbuatan khianat ini boleh mengancam keselamatan negara dan tidak boleh dimaafkan dan tindakan yang paling wajar ialah mengusirnya dari bumi negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan