BUMBURING...usir segera.
Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengusir keluar "Sultan Sulu", Datu Akjan Mohd Ali dari negara ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Wilfred Bumburing, berkata tindakan Akjan, bekas tahanan ISA menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu baru-baru ini adalah satu penghinaan kepada Yang DiPertuan Agong, pemerintah tertinggi yang berdaulat ini.
Katanya, ia juga merupakan satu cabaran langsung kepada Yang Dipertua Negeri.
Akjan mengisyitiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu di kediamannya di Kg Likas pada 2 Februari lepas.
Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran, berkata tindakan Akjan itu juga satu penghinaan kepada perlembagaan negara.
"Kita meragui status kewarganegaraan bekas tahanan ISA ini dan seharusnya kewarganegaraannya dibatalkan dan dia perlu dihantar balik ke negara asal," tegasnya.
Timbalan Presiden Upko itu turut meminta Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan agar bertindak positif terhadap memorandum yang beliau serahkan kepada kementerian berkenaan Disember lepas di mana beliau bangkitkan sekali lagi ketika sidang Parlimen pada Mac tahun ini.
Katanya, pada Jun tahun lepas, KDN mencabar beliau untuk mengemukakan bukti pendatang asing di Sabah yang diberikan Mykad atau kewarganegaraan melalui cara yang salah dan beliau telah mengumpulkan bukti-bukti itu dan menyerahkan kepada kementerian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan