Selasa, 16 Februari 2021

ADIK RAYHAN IDAP HIDROSEFALUS DAPAT PERHATIAN MENTERI DAN YADIM

Haji Samin mendengar penerangan ibu bapa Rayhan berhubung sakit yang diidapi kanak-kanak itu.

Seorang kanak-kanak, adik Muhammad Rayhan Jihan berusia lima tahun yang mengidap "Hidrosefalus", sejenis penyakit ketumbuhan otak mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Zulkifli Muhamad Al-Bakri.

Ia susulan siaran berita mengenai nasib kanak-kanak di Lahad Datu itu di Astro Awani, kelmarin.

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) itu telah menghubungi Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) cawangan Sabah dan mewakil kepada badan agama itu untuk menyampaikan sumbangan itu kepada ibu bapa Rayhan di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu.

Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki yang turun sendiri menyerahkan sumbangan itu, berkata pihaknya telah dihubungi menteri tersebut selepas melihat laporan stesen televisyen itu mengenai keadaan Rayhan.

"Alhamdulillah saya mewakili Menteri di JPM dan YADIM untuk menyampaikan sumbangan kepada anakanda Rayhan yang sedang diuji Allah dengan sakit ketumbuhan otak pada tahap empat," katanya.

Menurut Samin, beliau diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan untuk membantu meringankan keluarga tersebut memandangkan ayah kepada kanak-kanak ini tidak mempunyai pekerjaan ketika ini kesan daripada PKP.

Samin menyampaikan sumbangan kepada ayah Rayhan.

Sementara itu, ibu Rayhan, Julianah Md Salli memberitahu, anaknya itu lahir dan membesar normal seperti kanak-kanak lain tanpa sebarang petanda akan sakit sehingga dia tiba-tiba rebah pada November 2019 dan doktor mengesahkan penyakit yang diidapinya sudah ditahap kritikal.

"Rayhan telah menjalani beberapa rawatan membuang lebihan air di kepala dan pernah ditahan di wad beberapa waktu dan kini meneruskan rawatan dan penjagaan di rumah," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan