Khamis, 18 Februari 2021

UMNO SABAH TETAP RELEVAN SELEPAS 30 TAHUN


BUNG MOKTAR...kita terus berjuang.

Oleh PENULIS KHAS.

Pada 21 Februari ini, genaplah 30 tahun Umno mengembangkan sayapnya di Sabah. Bagi memperingatinya, Umno Sabah akan mengadakan sambutan perayaan minggu Ulang Tahun Ke-30 parti itu bertapak di negeri ini.

Bagaimanapun, ia dibuat sehari lebih awal yakni pada Sabtu ini dengan acara sambutan yang sederhana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Walaupun sambutannya agak sederhana namun ia amat bermakna untuk seluruh ahli Umno yang kini dianggarkan lebih 600,000 di seluruh bahagian di negeri ini selepas parti keramat itu secara rasmi bertapak di Sabah 30 tahun yang lalu.

Tidak seperti di awal Umno melebarkan sayapnya ke negeri bawah bayu, parti ini kurang berhadapan dengan cabaran getir sebagaimana yang dialami selepas pilihan nraya umum (PRU) ke-14 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana menjadi tunjang utama kerajaan yang memerintah kalah dalam pilihan raya tersebut kepada Pakatan Harapan.

Di awal kehadiran Umno di Sabah, ia ibarat satu tuntutan kerana rakyat di negeri ini menginsafi betapa ketidakstablian dan perpecahan sebenarnya tidak menguntungkan mereka. Atas faktor kesedaran inilah memberi peluang kepada rakyat melihat dan mendapati Umno sebagai sandaran terbaik dan menjadi wahana penyatuan rakyat melalui perkongsian kuasa dalam komponen BN.

Menerusi penyatuan tersebut dilihat mampu mewujudkan kestabilan politik dan merintis jalan untuk pembangunan negeri dari semua aspek.

Situasi itu berubah selepas BN mengalami kekalahan kepada PH dan Warisan di Sabah yang disokong beberapa pemimpin dalam kalangan pemimpin BN sebelum ini yang menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan negeri pada PRU ke-14.

Umno Sabah seolah-olah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin Umno di Semenanjung Malaysia menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan fenomena itu telah menular ke negeri ini.

Selepas peristiwa itu, Umno Sabah terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran namun ia tidak menjejaskan semangat untuk meneruskan perjuangan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah diberi kepercayaan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggalas tanggungjawab bagi mengetuai Umno Sabah dengan sokongan rakan-rakan yang masih setia dalam parti untuk meneruskan perjuangan.

Bung Moktar bersama pejuang-pejuang parti yang tidak mengenal erti keperitan terus berusaha memberi nafas baharu kepada Umno Sabah, bergerak dalam suasana yang dipenuhi kemelut dan ranjau akhirnya berupaya menyuntik semangat kepada ahli-ahli dan penyokong untuk kembali bangkit dan menyemarakkan keyakinan mereka.

"Umno Sabah telah melalui pelbagai kemelut, ranjau dan dugaan termasuk rakan-rakan parti lain dalam komponen meninggalkan BN selepas PRU ke-14,".

"Yang amat menyedihkan apabila 22 pemimpin Umno telah meninggalkan parti termasuk ketua-ketua bahagian, timbalan ketua bahagian serta pemuda dan wanita. Ia satu tamparan kepada parti", kata Bung Moktar.

Susulan situasi itu, beliau berkata, pihaknya terpaksa memikul amanah yang berat apabila Presiden Umno memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai Umno Sabah ketika itu.

Menurut beliau, dalam kesukaran tersebut, kesetiaan rakan-rakan pemimpin dalam bahagian menguatkan keyakinan mereka untuk melakukan penyusunan semula kepimpinan parti hampir di seluruh bahagian.

"Saya bersama rakan-rakan terpaksa turun padang menjelajah ke seluruh bahagian Umno di Sabah dan hasil daripada penerangan, perjumpaan demi perjumpaan telah membantu memperkasakan kembali peringkat akar umbi parti,".

"Jangkaan saya tidak salah yang melompat hanyalah pemimpin tetapi ahli-ahli Umno tetap terus setia bersama parti," tegasnya.

Di bawah teraju kepimpinannya selaku Ketua Umno Sabah, segala rintangan dan cabaran mampu dihadapi dengan cekal diiringi dengan prinsip perjuangan yang luhur.

Sebagai nakhoda parti, ujian pertama Bung Moktar ialah pilihan raya kecil Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 mengisytiharkan kemenangan Datuk Anifah Aman di kerusi berkenaan pada PRU ke-14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati undi tambahan yang menjejaskan keputusan pilihan raya.

Umno Sabah telah meletakkan Ketua Umno Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dicabar Ketua Bahagian Warisan, Datuk Karim Bujang dalam pertarungan satu lawan satu dalam PRK Parlimen Kimanis.

Bagi Bung Moktar yang ketika itu menjadi Pengarah Gerakan PRK Parlimen Kimanis tentu sekali peranannya itu bagaikan satu ujian besar yang terpikul di bahunya.

"Itulah cabaran terbesar malah ketika itu tiada yang mahu menaruh harapan dalam PRK itu," katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, Umno Sabah berjaya menyakinkan rakyat yang secara kebetulan juga PH dan Warisan tidak menepati aspirasi dan keyakinan rakyat membolehkan calon BN memenangi kerusi Parlimen Kimanis.

Malah majoriti yang diperoleh Mohamad Alamin menewaskan Karim dengan 2,029 undi adalah besar berbanding yang dipeoleh BN dalam PRU ke-14, iaitu 156 undi.

Kejayaan calon BN dari Umno itu bukan sahaja sangat manis bagi parti tetapi sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebaikan yang di bawa Umno dan BN selama ini.

Pilihan raya umum negeri ke-16 kemudiannya diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah mendapat cukup majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Bagi Umno dan Bung Moktar sendiri sebagai Pengerusi BN Sabah, PRN itu menjadi ujian paling besar kerana ia membabitkan 73 kerusi dipertandingkan ekoran persepadanan baharu.

Dari jumlah itu, Umno Sabah bertanding di 31 kawasan DUN dan Umno/BN telah berjaya memenangi 14 kerusi.

Bung Moktar berkata, walaupun kejayaan ini agak kecil namun ia merupakan petanda positif yang Umno/BN masih diterima rakyat serta menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Keputusan PRN itu menjadi satu lonjakan kepada gabungan parti dalam GRS untuk menguasai politik Sabah sehingga kami dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu," ujarnya.

Bung Moktar bersama Datuk Yakub Khan, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Jaffry Ariffin dalam satu mesyuarat parti.

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran Umno di Sabah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya itu menegaskan kekuatan BN/Umno di negeri ini disebabkan dokongan rakyat serta kesepaduan ahli-ahlinya.

Mengenai perjuangan masa hadapan Umno, Bung Moktar menjelaskan, parti itu tidak boleh bergantung kepada jumlah keahliannya semata-mata namun nilai dan kualiti setiap ahli di semua peringkat perlu diperkasakan lagi.

Menurut beliau yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, sempena sambutan ulang tahun ke-30 Umno Sabah menuntut kepimpinan dan ahli parti agar sentiasa memastikan landasan perjuangan parti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

"Hala tuju kita mestilah berdasarkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama. Kita haruslah sentiasa dekat di hati mereka dan dengan demikian, mereka akan memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan