Bung Moktar (tengah) diapit Yakub dan Jaffry.
Umno Sabah mensasarkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang seperti yang ditandinginya dalam PRU ke-14 yang lepas.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata berdasarkan fakta pada PRU ke-14, Umno telah diberikan 14 kerusi Parlimen untuk ditandingi.
Kawasan itu ialah Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.
Katanya, sasaran itu juga berpandukan kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) Umno Sabah di mana Sekretariat Penyelidikan yang dipengerusikan Ir. Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa yang akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat terhadap Umno bagi kerusi yang dituntut.
"Penyelidikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan hasil rumusan laporan itu, kita akan muktamadkan bilangan kerusi yang akan ditandingi parti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JUARA di Bangunan Umno, Sabtu lepas.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah merangkap Pengerusi JUARA Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin dan Pengarah Pilihan Raya PRU ke-15, Datuk Seri Salleh Tun Said.
Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata bagaimanapun perundingan awal soal agihan kerusi itu akan dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara telus berdasarkan kekuatan parti masing-masing.
"Ia akan diputuskan lebih awal dan tidak menunggu saat-saat akhir menghadapi pilihan raya,".
"Pada PRU ke-15, kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan sekadar kerusi untuk bermegah, mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik, kehendak pengundi dan lokaliti," tegasnya.
Bung Moktar bersama Ketua-ketua Umno Bahagian di Sabah.Terdahulu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri dari Umno. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Sabah.
Pada perjumpaan itu, beliau mengingatkan mereka supaya lebih pro aktif turun padang menangani masalah rakyat terutama ketika pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kebanyakan rakyat di luar bandar terjejas dan memerlukan bantuan.
"Saya berharap semua wakil rakyat Umno mengekalkan momentum untuk terus bekerja dan sentiasa mendekati rakyat bukan waktu pilihan raya sahaja," katanya.
Ketua Umno Sabah itu juga memberitahu bahawa sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke Sabah akan diadakan pada 20 Februari ini dengan perhimpunan secara sederhana di Bangunan Umno Sabah di sini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. (Oleh JAAFAR WAHID).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan