Ahad, 7 Februari 2021

PEMERGIAN NABIL SATU KEHILANGAN PEJUANG SETIA PARTI

Mereka yang hadir di upacara pengebumian jenazah allahyarham di Tanah Perkuburan Orang Islam Kg Petagas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemergian bekas Ketua Pemuda Umno Tenom (Padas), Nabil Haji Rashid sebagai satu kehilangan besar kepada Umno Sabah.

Katanya, beliau sedih dengan pemergian bekas ketua pemuda Umno itu dan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan dalam Umno yang setia dan mempunyai prinsip.

Nabil, 58, meninggal dunia pagi ini akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth II dua minggu lepas.

Allahyarham Nabil dimasukkan di wad ICU Hospital QEH.

Allahyarham juga merupakan Pegawai Khas bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat dan pejuang sejati dalam parti," kata Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah dalam satu hantaran di akaun facebooknya.

Menteri Kerja Raya itu mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham sambil berharap mereka tabah menerima saat yang sukar ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak termasuk seorang anak perempuan.

Antara yang terawal menziarahi jenazah beliau ialah Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri, Jaafar Wahid.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu allahyarham di pejabatnya kira-kira tiga minggu lepas.

"Allahyarham seorang sahabat yang sering berjenaka apabila berjumpa dan pemergiannya satu kehilangan yang sangat dirasai," katanya.

Jenazah allahyarham Nabil disembahyangkan di Masjid Kampung Petagas dan dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam Kg. Petagas bersebelahan dengan Tugu Perang Petagas.

Antara yang hadir memberikan penghormatan termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Setuasaha Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin yang mewakili Bung Moktar, Adun Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Ag Aslee Lakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan