Sebuah lagi parti politik baru muncul di Sabah, Parti Kerjasama Rakyat (PAKAR) ditubuhkan dan sudah mengemukakan permohonan untuk didaftarkan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (Ros).
Menurut presiden penajanya, Zainal Haji Nasiruddin, seorang usahawan dari Kampung Perapat Laut, Kudat, PAKAR adalah sebuah parti yang akan mewakili semua masyarakat Bumiputera di negeri ini tanpa mengira latar belakang, budaya dan agama mereka.
Katanya, penubuhan parti itu bagi menjuarai hak-hak dan kepentingan Bumiputera serta aspirasi mereka.
Begitupun, presiden PAKAR itu tidak pula menyatakan sekiranya ia sudah mempunyai kesediaan untuk bertanding pada pilihan raya umum negeri akan datang sekiranya pendaftarannya diluluskan.
Di peringkat awal ini, ia juga tidak memberi gambaran bahawa parti itu ada kesanggupan untuk mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang lain seperti PKR, SAPP, DAP dan lain-lain parti.
Sesetengah penganalisis politik secara bergurau mengaitkan kemunculan parti baru itu dengan musim hujan yang melanda sekarang kerana kata mereka, biasalah cendawan akan tumbuh selepas hujan.
Namun musim hujan sekarang menyebabkan beberapa daerah di Sabah terutama di Kota Marudu, Kota Belud dan Kinabatangan terpaksa melakukan pemindahan penduduk-penduduk yang diancam teruk banjir.
Parti politik biasanya akan tumbuh apabila mendapati bahawa suasana pilihan raya semakin hampir. Tetapi yang pastinya pilihan raya umum tidak mungkin diadakan dalam masa terdekat. Tiada petunjuk bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.
Sekali pun bagi parti pembangkang sama ada yang sedia wujud atau baru mahu ditubuhkan, mereka sentiasa mengharapkan kehadiran musim pilihan raya. Lagi cepat dewan undangan negeri dibubarkan, lagilah bagus kerana ini memberi peluang untuk mereka mencuba nasib. Kadangkala senario ini merungsingkan juga wakil-wakil rakyat parti kerajaan terutama yang tidak perform dengan baik, bersembunyi daripada ditemui rakyat dan sentiasa sahaja memberi alasan kesusahan beliau.
Trend Yang Berhormat seperti ini memang membimbangkan. Ada yang mengatakan kalau sentiasa susah, buat apa ghairah sangat nak jadi calon dalam pilihan raya untuk mendapatkan tiket Yang Berhormat. Kesengsaraan rakyat untuk memenangkan seseorang wakil rakyat tidak berbaloi dibalas dengan alasan yang pelbagai. Bagaimana susah seseorang wakil rakyat pun, tentu susah lagi rakyat biasa yang tidak mempunyai sumber pendapatan dinanti setiap bulan. Cerita kesusahan wakil rakyat kadang kala menimbulkan tanda tanya kerana dalam susah mereka, mampu juga memandu kenderaan baru pacuan empat roda, untuk bersembunyi di Kota Kinabalu. Namun begitu, tidak semua wakil rakyat bersikap demikian. Ramai juga yang bagus, bukan sahaja mesra rakyat, sering turun padang malah juga memahami masalah yang dihadapi rakyat dan berusaha menyelesaikannya.
Ada juga orang kita yang khidmat pada masyarakat belum teruji, nama pun orang belum kenal, tiba-tiba muncul pada hari penamaan calon. Konon nak jadi YB, nak berkhidmat untuk rakyat. Bila dah jadi YB, dekat-dekat pilihanraya berikutnya baru muncul balik menemui rakyat...
BalasPadam