SAHABAT BARU...Mohd Hizaz Lokman atau lebih popular dengan panggilan Kaka oleh rakan-rakan (tiga dari kiri) bersama beberapa pemain PFTC Kitakyushu dari Jepun yang menyertai Kejohanan Bolasepak Piala Borneo di Stadium Likas, baru-baru ini.
Kaka, 10, murid tahun empat SK Likas mewakili pasukan KK United (Sabah) yang menewaskan pasukan PFTC Kitakyushu 2-1 dalam perlawanan akhir sekali gus merangkul Piala Borneo 2010 anjuran Borneo Sports and Adventure Holidays, sebuah syarikat yang dimiliki bekas pemain import Sabah dari Australia, Scott Ollerenshaw.
Tahun lalu, Kaka ketika berusia sembilan tahun mewakili pasukan TABS dalam kejohanan itu di mana mereka berjaya mara ke perlawanan akhir tetapi dikecewakan oleh pasukan First 11 Academy dari Australia.
Tahun ini, First 11 Academy yang digeruni lawan itu hanya mampu menduduki tempat ketiga.
Bagi Kaka, ini merupakan penampilan keduanya dalam Piala Borneo itu dan bernasib baik kerana pasukannya, KK United berjaya memenangi piala tersebut daripada dibawa pulang lawan mereka ke Jepun.
Bermain seawal usia tujuh tahun, Kaka ketika ini beraksi dalam pasukan SK Likas dalam Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu Grace One. Awal tahun ini, pemain kesayangan SK Likas ini telah membantu pasukan sekolahnya untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSD Kota Kinabalu dan pasukan sekolah itu telah diisytiharkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan kejohanan.
Perkembangan terbaru penyerang kidal ini ialah Ketua jurulatih TABS yang mengendalikan pasukan KK United, Matasan Ahmad telah menyenaraikannya sebagai pelatih Program Pembangunan Bolasepak Bawah 12 Tahun di bawah pengawasan SAFA.
Mudah-mudahan program pembangunan pemain kanak-kanak ini terus diberi perhatian serius oleh SAFA kerana ia sudah pasti membolehkan badan bolasepak negeri itu mengenal pasti bakat-bakat baru terutama membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun.
Ini salah satu pendekatan yang perlu diterokai SAFA secara berani dan terancang setelah sekian lama kita mengalami kesukaran untuk mencari pemain-pemain berkaliber sehebat James Wong dan Hassan Sani di era lewat 70-an.
Para peminat bolasepak di Sabah pastinya ternanti-nanti, SAFA mampu menonjol pemain-pemain terbaik yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri malah Malaysia di persada global.
Suatu ketika dahulu, pasukan negara begitu disegani pasukan seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi tetapi ketika ini, kita begitu tertinggal jauh bagi pencapaian dalam bolasepak antarabangsa. Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi mampu melayakkan diri ke Piala Dunia tetapi pasukan negara masih lagi tercari-cari di mana kesilapan?.
Justeru, barangkali kita harus kembali bermula dari bawah dan jawapannya ialah menggilap bakat kanak-kanak yang jarang sekali diberi perhatian selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan