Isnin, 25 Oktober 2010

LINDA GALAS TUGAS PERTAHAN KERUSI BATU SAPI

Balu mendiang Datuk Ir Edmund Chong, Datin Linda Tsen Thau Lin yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini, menggalas tugas berat untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Linda, 54, lulusan Kolej Muzik London dijangka berhadapan dengan bekas Ketua Menteri yang juga Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang bergelar "taiko" dan seorang pemimpin kanan PKR Sabah, Ansari Abdullah berikutan kedua-dua pemimpin pembangkang itu sudah pun dinamakan untuk mewakili parti dan gabungan masing-masing.

Pemilihan calon BN itu dikatakan telah pun mendapat persetujuan semua anggota komponen BN sebagaimana diperjelaskan oleh Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Sandakan.

Selepas dinamakan sebagai calon BN, Linda yang juga Timbalan Pergerakan Wanita PBS Bahagian Elopura dan Naib Ketua Wanita PBS Pusat berikrar untuk memastikan kerusi Parlimen berkenaan dapat dipertahankan BN.

"Saya akan bekerja keras untuk memenangi kerusi ini bagi meneruskan kerja-kerja yang dilakukan suami (Edmund) ketika menjadi Anggota Parlimen kawasan ini," katanya.

Beliau menjangka pilihan raya kecil itu akan menyaksikan persaingan sengit dan ini memaksa beliau untuk bekerja lebih keras.

Linda yang dilahirkan di Sandakan berasa terharu tetapi pada masa yang sama bangga kerana telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti dan BN untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

"Sungguhpun banyak cabaran, kita boleh mememangi pilihan raya kecil ini dengan kita perlu bekerja bersungguh-sungguh," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yakin pengundi di Batu Sapi akan memberi sokongan kepada calon BN itu berdasqarkan senario sekarang.

Menurut beliau, pihaknya menjangka bahawa Linda akan dapat diterima majoriti pengundi dan sudah tentu beliau mampu untuk membawa kesinambungan pembangunan di kawasan ini sebagaimana yang dilakukan mendiang suami beliau.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian mendiang Datuk Ir Edmund Chong yang terbabit dalam nahas jalan raya pada 9 Oktober lepas
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan