Isnin, 28 September 2020

HAJIJI ANGKAT SUMPAH KM ESOK

Haji menerima surat jemputan yang disampaikan Tun Juhar.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang ke-16 di Istana Negeri pagi esok.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebulat suara menamakan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri selepas memenangi pilihan raya negeri Sabtu lepas untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Petang tadi, beliau telah menerima surat jemputan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri di Istana Negeri jam 10.00 pagi esok yang diserahkan sendiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Tun Juhar mengucapkan tahniah atas pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang baharu, yang beliau telah persetujui.

Sejurus selesai menerima surat jemputan itu, bakal Ketua Menteri itu menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah.

Sebelum itu, Hajiji memaklumkan bahawa GRS telah sebulat suara bersetuju menamakan beliau sebagai Ketua Menteri.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat kerana telah memberi mandat kepada mereka dalam pilihan raya negeri kali ini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin Sabah, berkata, mereka telah membuat persetujuan bagi pembentukan kerajaan yang baharu atas dasar kesedaraan dan keyakinan bahawa kerajaan ini mampu untuk memulihkan kembali semangat rakyat.

"Mereka selama ini telah hilang keyakinan disebabkan pemerintahan yang tidak prihatin kepada rakyat", katanya sambil menambah bahawa ia satu tugas yang berat kepada mereka.

Beliau berharap pembentukan kerajaan baharu ini akan dapat memulakan langkah bagi memastikan rakyat mendapat perhatian dari kerajaan dan memikirkan masa depan negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan