Ahad, 27 September 2020

PBS TIDAK AKAN BERGABUNG DENGAN WARISAN PLUS, KATA JONISTON

Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan bergabung dengan parti Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri, kata Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, sebagai rakan kongsi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS tetap akan kekal sebagai rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kiulu itu dalam satu posting di akaun facebooknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa parti itu akan bergabung dengan Warisan Plus bagi tujuan tersebut.

Dakwaan itu telah ditularkan di media sosial berikutan keputusan pilihan raya negeri, kelmarin.

Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri pada Sabtu, PN Plus dan Barisan Nasional (BN) mempunyai sejumlah 41 kerusi termasuk tiga kerusi Bebas untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

 Bung Moktar dan Hajiji Noor.

Selepas mengadakan perbincangan, PN Plus dan BN mengemukakan dua nama calon ketua menteri, Pengerusi PN, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selewat-lewatnya esok (Isnin).

Pengerusi BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Tun Juhar telah meminta tempoh untuk menentukan calon ketua menteri dalam masa secepat mungkin.

"Keputusan dijangka dicapai dalam masa terdekat," katanya selepas keluar dari perkarangan Istana Negeri, hari ini.

Manakala Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor ketika ditemui hanya berkata, "TYT akan putuskan".

Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim pula berkata, perbincangan berhubung calon ketua menteri berjalan dengan baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan