Aminah (tiga kiri) bersama rombongan berjalan kaki akibat jalan tidak dapat dilalui kenderaan untuk menghantar bantuan makanan di sebuah kampung di Klias.
Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort akan terus mendekati golongan kurang berkemampuan di daerah berkenaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketuanya, Hajah Siti Aminah Aching.
Beliau berkata, ia termasuk golongan yang ditimpa musibah, warga emas, kurang upaya dan mereka yang terlantar sakit.
Katanya, pergerakan itu akan sentiasa dan terus melaksanakan tanggungjawabnya menyantuni rakyat yang terkesan dengan situasi sekarang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Kita memahami situasi ketika ini dengan pelaksanaan PKP ditambah lagi keadaan cuaca yang tidak menentu, semua pihak terutama golongan yang kurang berkemampuan, sakit dan ditimpa musibah begitu terkesan,".
"Justeru, Wanita Umno bahagian akan terus berusaha mendekati mereka dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka tanggung," katanya selepas melakukan program ziarah di kawasan Parlimen Beaufort membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu, baru-baru ini.
Aminah menyampaikan sumbangan bahan makanan kepada seorang penduduk di Kg Melabau, Klias.Aminah yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, berkata usaha itu selaras dengan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat ketika mereka sedang memerlukan bantuan segera.
Katanya, ini adalah tanggungjawab sosial parti dan selaku sayap parti tentunya mahu mengelak persepsi bahawa Wanita Umno hanya bergerak secara bermusim.
"Program ziarah sebegini akan terus berjalan dan bukan ketika musim pilihan raya sahaja bagi memastikan golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat pembelaan," tegasnya.
Dalam hubungan ini, Ketua Wanita Umno bahagian itu juga meminta ketua-ketua cawangan Wanita Umno di bahagian ini supaya sentiasa peka terhadap sebarang isu atau masalah yang dihadapi masyarakat di cawangan masing-masing.
Ini membolehkan golongan yang berhadapan dengan masalah kritikal tidak terbiar sebaliknya dapat diberikan bantuan yang sewajarnya, tambahnya.
Beliau berharap semua pemimpin akar umbi khususnya wanita Umno sentiasa memantau keadaan dan menyalurkan segera maklumat kepada pejabat Wanita Umno bahagian supaya langkah susulan dapat diambil.
Menyerahkan sumbangan kepada warga emas yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kg Melikai, Kuala Penyu, baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Penolong Pegawai Daerah Menumbok, Joumat Bisnin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan