Jalan Kg Suang Duyung di Pitas yang terputus akibat banjir dan hujan lebat.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan segera akan diambil untuk membaikpulih jalan raya dan jambatan yang runtuh ekoran hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya telah mengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan segera membaiki mana-mana jalan raya dan jambatan yang dikenal pasti terputus dan mengalami kerosakan.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas menyebabkan banjir berlaku menjadi punca banyak jalan rosak serta jambatan runtuh terutama di daerah Pitas.
"Saya sudah menerima laporan daripada JKR mengenai situasi yang berlaku dan jurutera daerah di kawasan terbabit telah turun padang memantau serta memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.Bung Moktar (gambar atas) berkata, JKR telah mengenal pasti beberapa daerah terlibat seperti Pitas, Kota Marudu dan Beluran.
Antara jalan yang mengalami kerosakan dan jambatan runtuh ialah Jalan Pitas-Langkon (KM53.05), Jalan Meringgan (KM1.7), Jalan Suang Duyung-Layak-Layak (KM0.25) dan (KM4.25), Jalan Sosop Bal (Kg. Rinasuk), Jalan Ulu Malubang (KM15.5), Jalan Mongkubou Laut (KM2.0) dan (KM6.95) dan Jalan Telaga di mana Jambatan Sungai Paparoun telah runtuh.
Katanya, bagi kes jalan runtuh yang tidak terlalu serius, kerja-kerja pembersihan dilakukan pihak JKR termasuk jalan-jalan di bawah jagaan kontraktor yang masih memegang konsesi penyelenggaraan.
Beliau memberitahu, bagi jalan terputus dan jambatan runtuh yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi, ia akan dilakukan penilaian bagi menentukan kos sebenar dan sudah tentu kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan segera.
"Tindakan segera pembaikan akan dilakukan supaya pengguna jalan raya tidak terjejas," ujarnya.
Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya itu meminta semua jurutera daerah JKR sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan berterusan yang akan mengakibatkan banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid, berkata hujan lebat berterusan dan banjir merupakan punca berlakunya jalan mengalami kerosakan dan jambatan runtuh.
Kata beliau, pihaknya sudah menerima laporan penuh daripada jurutera daerah terbabit dan JKR sedang menilai anggaran kos untuk pembaikan segera.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan di Jalan Langkon yang mengalami kejadian tanah runtuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan