Jumat (tiga dari kiri) menerima watikah pelantikan yang disampaikan Bung Moktar sambil diperhatikan Jaffry, Raime dan Ag Aslee.
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris dilantik sebagai Penolong Setiausaha Umno Sabah yang baharu.
Majlis penyerahan watikah pelantikan disampaikan oleh Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di pejabatnya, kelmarin.
Ia disaksikan oleh Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin, Ketua Penerangan, Datuk Raime Unggi dan Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Ag Aslee Lakat.
Jumat yang juga bekas Anggota Parlimen Sepanggar dilantik ke jawatan itu bagi mengisi kekosongan jawatan selepas penyandangnya, Ag Aslee Lakat sebelum ini dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif Umno Sabah berikutan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Datuk Kadzim Yahya yang dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri pada Oktober lepas.
Mengulas pelantikan itu, Bung Moktar menyifatkan Jumat sesuai untuk menggalas tugas tersebut bagi membantu melicinkan tugas-tugas Jaffry sebagai Setiausaha Umno Sabah disebabkan kesibukan tugas sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
"Saya yakin beliau (Jumat) mampu menlaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan berdasarkan pengalaman begitu lama berjuang bersama parti," katanya.
Sementara itu, Jumat mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepimpinan Umno Sabah khususnya Bung Moktar terhadap beliau menggalas tugas tersebut.
"Ini satu amanah besar yang menuntut komitmen dan kesungguhan dalam usaha untuk terus memperkasakan parti supaya mampu berkhidmat lebih berkesan kepada rakyat," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan