Ir Ali Ahmad menunjukkan kepada Bung Moktar keretakan yang berlaku di jejabat itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan bahawa jejambat (flyover) di Hilltop Luyang yang mengalami keretakan akan diperbaiki segera oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab kerajaan untuk menyelenggara jalan berkenaan.
Katanya, syarikat konsesi tersebut akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan itu memandangkan syarikat kontraktor yang membina jejambat itu telah pun menyerahkannya kepada kerajaan sebelum ini setelah ia siap sepenuhnya.
"Setakat ini jejambat itu masih boleh dilalui kenderaan namun sebelah lorong atas dan bahagian bawahnya ditutup demi keselamatan pengguna jalan raya. Papan tanda amaran juga telah dipasang di situ," katanya selepas meninjau keadaan keretakan di jejambat tersebut, hari ini.
Bung Moktar melakukan lawatan mengejut untuk meninjau keadaan jejambat berkenaan.Beliau yang juga Menteri Kerja Raya memberitahu, keretakan itu berlaku disebabkan dua struktur yang berbeza dan di bawah jejambat itu terdapat sistem perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kebimbangan pengguna jalan raya di samping untuk keselamatan agar keretakan yang berlaku tidak melarat.
Mengenai bilangan jalan raya yang mengalami keruntuhan akibat hujan beberapa hari lepas, Bung Moktar, berkata kementeriannya sedang mengumpul data dan menjangka terdapat lebih 10 jalan raya terlibat.
"Sekiranya keadaan hujan berterusan, kita tidak menolak kemungkinan kejadian boleh berlaku lagi. Kita berdoa supaya keadaan cuaca tidak menentu akan kembali reda," ujarnya.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Ir Ali Ahmad Hamid, pegawai-pegawai kementerian dan wakil dari syarikat konsesi.
Sebahagian lorong yang ditutup untuk keselamatan pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan