Selasa, 26 Januari 2021

KG PENGKALAN BUKIT GARAM TIDAK SELAMAT DIDUDUKI

Bung Moktar turun padang meninjau keadaan banjir di perkampungan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar memberi amaran kepada penduduk Kampung Pengkalan Bukit Garam bahawa kawasan perkampungan itu tidak selamat diduduki masyarakat.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Majlis Daerah Kinabatangan.

"Kawasan perkampungan ini bukan sahaja tidak selamat diduduki malah di segi kesihatan situasinya amat membimbangkan," katanya selepas meninjau keadaan banjir di perkampungan berkenaan.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di perkampungan itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag, berkata keadaan perumahan di situ tidak tersusun dalam semua aspek termasuk tiada pelan perancangan, tiada kemudahan tandas yang bersih serta prasarana lain.

Bung Moktar bersama penduduk yang menyambut kehadirannya sempena lawatan ke kampung berkenaan.

"Penduduk yang merasakan perkampungan ini masih selamat untuk diduduki harus menyedari keadaan adalah sebaliknya," ujar beliau.

Adun Lamag itu menyifatkan keadaan di perkampungan berkenaan tidak berupaya untuk mengubah nasib dan masa hadapan anak-anak mereka.

"Tiada jaminan masa hadapan untuk anak-anak anda di kawasan ini dan semua penduduk harus menyedari perkara itu," jelas Bung Moktar.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perjumpaan sekali lagi kepada penduduk terbabit bagi menjelaskan perkara itu dan mematuhi arahan untuk berpindah ke lokasi yang disediakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan