Isnin, 25 Januari 2021

SABAH PERLU RM13B UNTUK TINGKATKAN KUALITI AIR

Bung Moktar melawat Loji Rawatan Air Batu Putih di Kinabatangan. Turut kelihatan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ir Edward Lingakpo (kiri).

KINABATANGAN: Kerajaan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM13 billion untuk memperbaiki kemudahan yang mampu membekalkan air bersih di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata peruntukan itu adalah usaha yang dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti bekalan air di seluruh negeri.

"Kita menghadapi masalah air bersih yang kritikal ekoran 23 loji rawatan air perlu dibaik pulih dan dipindahkan selain menggantikan paip baharu, membaiki kebocoran paip dan lain-lain," katanya selepas melawat Loji Rawatan Air Batu Putih, Kinabatangan di sini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata semua sungai yang mempunyai loji rawatan air berlaku pencemaran yang teruk malah terdapat muka sauk loji tersebut perlu dipindahkan.

Katanya, ini kerana ketika loji terbabit dibina dahulu keadaan sungai berkenaan masih elok dan setelah beroeprasi berpuluh tahun, sungai-sungai tersebut telah tercemar oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal.

Berikutan keadaan itu, Bung Moktar mengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengemukakan laporan untuk dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan.

Ini bagi membolehkan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih yang lebih baik, katanya.

Mengenai Loji Rawatan Air Batu Putih, beliau berkata, saluran paip air bersih ke Paris sejauh 37 kilometer telah mengalami kebocoran.

"Penduduk di kawasan Paris tidak mendapat bekalan air bersih sedangkan sumber airnya dari Kinabatangan," ujar beliau.

Edward memberi penerangan kepada Bung Moktar ketika melawat kawasan kolam takungan di Pusat Loji Air Segaliud, Sandakan. Turut bersama ialah Datuk Jaffry Ariffin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta diperlukan bagi kos keseluruhan baik pulih paip-paip yang mengalami kebocoran tersebut.

"Sekiranya ada peruntukan RM1 juta atau RM2 juta, ia boleh digunakan sebagai permulaan bagi kerja-kerja baik pulih itu," tambah beliau.

Beliau juga memberitahu, akibat kebocoran paip air menyebabkan kerajaan mengalami kerugian setiap tahun.

"Ketika ini 45 peratus masih lagi menggunakan paip lama," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan