Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) mengajak semua peringkat kepimpinan parti dan seluruh ahlinya supaya memperkuatkan parti untuk membela nasib rakyat di negeri ini.
Katanya, nasib rakyat akan terbela apabila parti kuat.
Pada masa yang sama, menurut beliau, mereka mestilah mengutamakan perjuangan sebenar dan mengetepikan perjuangan diri.
"Tidak ada jalan singkat dalam perjuangan, semuanya melalui liku-liku kesukaran," katanya dalam posting di akaun peribadi facebooknya sempena perutusan tahun baru.
Bung Moktar yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya jangan berjuang mengikut musim atau sekadar terikut-ikut.
Katanya, mereka seharusnya mempelajari ilmu politik termasuk budayanya.
"Politik ada naik turunnya, ada susah senangnya. Malah politik juga adakala kita kena mengalah untuk mencapai kemenangan," tegas beliau.
Ketua Umno Sabah itu berkata, keyakinan dalam perjuangan adalah faktor yang menjadi kekuatan sesebuah parti.
"Keyakinan, komitmen dan kepercayaan seharusnya menjadi teras kekuatan kita," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan