Ahad, 17 Januari 2021

PEMANDU DIMINTA BERHATI-HATI LALUI JALAN YANG RUNTUH, DITENGGELAMI BANJIR

Jalan raya yang mengalami keruntuhan di kawasan Kampung Tudan, Penampang Jalan Tambunan - Kota Kinabalu.

Pengguna jalan raya di negeri ini diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan mereka berikutan hujan berterusan menyebabkan sebahagian jalan raya mengalami kerosakan, runtuh dan ditenggelami banjir.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kebanyakkan jalan runtuh berlaku di kawasan berbukit dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Katanya, sebagai contoh jalan raya yang mengalami keruntuhan serius berlaku di jalan Kota Kinabalu - Tambunan iaitu di lokasi Kampung Tudan, Penampang.

"Jalan lain yang runtuh dan mengalami keretakan ialah di Jalan Maang, Penampang menuju ke Lok Kawi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

BUNG MOKTAR...pemandu perlu berhati-hati.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pemegang konsesi penyelenggaran melakukan pemantauan dan memasang papan tanda untuk keselamatan pengguna.

Menurutnya, pengguna perlu lebih berhati-hati menggunakan jalan alternatif lain bagi menjamin keselamatan mereka dan sampai ke destinasi yang dituju.

"Pengguna jalan raya wajar mendapatkan maklumat dari JKR supaya mereka memperoleh info yang tepat," ujar beliau.

Bung Moktar juga berterima kasih kepada netizen yang memuat naik isu berkaitan keadaan jalan raya di media sosial dan melalui aplikasi whatsapp yang dihantar terus kepadanya.

Flyover di Luyang yang mengalami keretakan.

Mengenai masalah keretakan jejambat (flyover) di Luyang, beliau berkata, jurutera perunding sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya, pihak JKR kini menunggu keputusan daripada mereka untuk mengambil tindakan susulan.

"JKR akan menampal simen di tempat yang retak untuk sementara dan pada masa yang sama Pengarah JKR akan mengadakan mesyuarat teknikal sebaik sahaja laporan diperolehi," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan