Jumaat, 22 Januari 2021

SABAH AKAN WUJUDKAN SURUHANJAYA AIR

Bung Moktar bercakap kepada para wartawan dalam sidang media di pejabatnya.

Sabah akan mewujudkan Suruhanjaya Air sebagai langkah penyelesaian jangka panjang permasalahan air yang dihadapi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Jabatan Air Negeri Sabah akan menyediakan kertas cadangan bagi pewujudan suruhanjaya itu untuk dibincangkan dalam kabinet negeri.

Katanya, perkara itu juga memerlukan pindaan enakmen berkaitan air dan perlu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan suruhanjaya itu dapat ditubuhkan. 

"Suruhanjaya ini nanti membolehkan air dapat diswastakan dan ia sekali gus bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan air yang dihadapi rakyat sejak sekian lama," katanya dalam sidang media di pejabatnya, pagi tadi.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata masalah air yang berlarutan begitu lama di Sabah tidak akan dapat di atasi sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan.

Katanya, penubuhan suruhanjaya air ini merupakan langkah jangka panjang untuk menangani permasalahan air dan perancangan demikian adalah jalan terbaik.

Menurut beliau, terdapat 22 loji rawatan air daripada 84 kesemuanya dikenal pasti bermasalah pada tahap kritikal sehingga tidak mampu membekalkan air kepada orang ramai.

Bung Moktar menerangkan sesuatu dalam sidang media itu sambil diperhatikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ir Edward Lingkapo dan pegawai-pegawai jabatan berkenaan.

Ini akibat berlakunya pencemaran sungai yang teruk disebabkan pembangunan, pembukaan tanah serta penerokaan kawasan hutan telah menjejaskan operasi loji terbabit.

"Ia antara punca banyak daerah mengalami gangguan bekalan air serta menjejaskan perkembangan sektor industri disebabkan bekalan air tidak mencukupi selain sering berlaku gangguan," tambahnya.

Loji-loji tersebut terletak di Tuaran, Kinabatangan, Kota Belud, Tawau, Kalabakan, Kunak, Tenom, Nabawan, Sook, Tulid, Beaufort, Sipitang dan Keningau.

Bung Moktar menjelaskan bahawa kebanyakan loji berkenaan sudah berusia 20 tahun dan ia sering mengalami masalah sama ada musim kemarau atau hujan.

Bagi penyelesaian jangka masa pendek, katanya, Jabatan Air akan membina tangki simpanan air di loji tertentu di samping membina kolam besar atau Off River Storage (ORS) menggunakan air sungai di loji bermasalah yang lain.

Ditanya mengenai Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa Tiga atau Empangan Sungai Papar, beliau berkata, ia akan diteruskan namun lokasinya akan dipindahkan ke hulu sungai berkenaan di mana empangan itu boleh bertahan antara 80 hingga 100 tahun.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan