Rabu, 20 Januari 2021

SABAH MOHON PERUNTUKAN PUSAT BAIKI RUNTUHAN LETAK KERETA DI KUNDASANG

Kawasan letak kereta yang runtuh di Taman Negara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memohon peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk membaiki kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu, Kundasang yang runtuh, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kawasan letak kereta itu perlu diperbaiki segera supaya ia tidak menjejaskan jalan utama antara Kota Kinabalu ke Ranau.

Katanya, tambahan lagi kawasan berkenaan merupakan lokasi tumpuan pelancong dan menjadi tempat meletak kenderaan bagi pengunjung ke Taman Negara Kinabalu. 

"Kementerian Kerja Raya akan menyediakan anggaran kos bagi kerja-kerja pembaikan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Pusat," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang tadi.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya (gambar), berkata sehingga ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun memasang papan tanda amaran selain kerja-kerja penyelenggaraan sementara dilakukan bagi menghalang runtuhan itu memberi kesan kepada jalan utama berhampiran.

Menurut beliau, sekiranya tidak diperbaiki segera, kesan jangka panjang runtuhan boleh menjejaskan jalan utama Kota Kinabalu - Ranau.

Dalam kejadian pada Selasa, kawasan letak kereta itu telah runtuh dengan keluasan kira-kira 100 meter akibat hujan turun sejak beberapa hari lepas.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Keadaan tanah runtuh di Taman Negara Kinabalu, Kundasang.

Ditanya mengenai keruntuhan di Jalan Pitas - Kinabungan yang melibatkan bangunan Loji Rawatan Air Paitan, Timbalan Ketua Menteri itu menjelaskan JKR akan menggunakan peruntukan kecemasan AP55 untuk membaikpulih jalan tersebut.

"Setakat ini laporan yang saya terima hanya bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan tersebut sementara bangunan loji rawatan air masih boleh berfungsi," ujar Bung Moktar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Sabah, Edward Lingkapo, berkata jabatan sedang melakukan siasatan dan akan menyediakan laporan terperinci berhubung kejadian itu.

Pusat Rawatan Air Paitan adalah di bawah konsesi syarikat yang diberi tanggungjawab mengendalikannya.

Bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan jalan tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan